
YAYASAN TOH PUAN ZURINA TERIMA SUMBANGAN RM500,000
PENGKALAN BATU 13 April – Yayasan Toh Puan Zurina menerima sumbangan berjumlah RM500,000 bagi menyokong pelbagai inisiatif kebajikan dan program kesihatan komuniti.
Sumbangan itu disalurkan sebuah pasar mini tempatan terkemuka bagi tempoh lima tahun akan datang, iaitu dari 2026 hingga 2030.
Yayasan Toh Puan Zurina dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan di atas sumbangan tersebut yang disifatkan bakal memberi manfaat besar kepada komuniti setempat.
“Ini termasuklah pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis berterusan namun berdepan kekangan kewangan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, majlis simbolik penyerahan cek cura bagi sumbangan itu telah disaksikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Yayasan Toh Puan Zurina, di sini.
Penyerahan itu telah dilakukan Ketua Pegawai Operasi 99 Speedmart Yong Eng Kwang kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Toh Puan Zurina Datuk Wira Radhuana Salleh.
Sementara itu, Eng Kwang berkata, inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat.
“Pada masa sama, usaha ini juga bakal memberi impak positif kepada golongan yang memerlukan, selaras dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

