
PERTANDINGAN PIDATO RUKUN NEGARA DIPERLUASKAN KE SEMUA NEGERI
GADEK 13 April – Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2026 siri keenam dijangka lebih meriah apabila penganjurannya dirancang akan diadakan di semua negeri seluruh negara.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, format atau konsep pertandingan itu adalah sama seperti dilaksanakan di Melaka sebelum ini.
Katanya, penganjuran bagi negeri luar Melaka melibatkan kategori institusi pengajian tinggi (IPT) sahaja dan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
“Selain menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda pendekatan ini juga memastikan penyertaan lebih menyeluruh memandangkan belia adalah pemangkin kepada semangat perpaduan.
“Selepas melalui peringkat saringan di negeri-negeri, seramai 16 peserta terbaik akan dipilih untuk bersaing di pentas akhir dijadualkan di Melaka pada pertengahan September,” katanya.
Hee Sem berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jalinan Mesra Perpaduan @KRT: Sukan Jiran Muda Dan Sukan Rakyat Di Bendang bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam, di Kampung Gadek, semalam.
Hee Sem yang juga Adun Machap Jaya berkata, Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2026 masih mengekalkan lima kategori iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, IPT, Bukan Melayu dan Awam.
“Pertandingan ini membuktikan peranan Melaka sebagai antara negeri peneraju agenda perpaduan negara selain melahirkan anak watan yang berwibawa dan berkeupayaan tinggi dalam seni pidato,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


