
MPAG RANCANG BINA BAHARU, BAIK PULIH 11 KEDIAMAN TAHUN INI
GADEK 15 April – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) merancang untuk melaksanakan 10 projek baik pulih rumah dan membina sebuah rumah baharu sekitar Daerah Alor Gajah sepanjang tahun ini.
Yang Dipertua MPAG, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, inisiatif meringankan beban rakyat itu dilaksanakan selepas pihaknya menerima peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Katanya, peruntukan diangkat untuk pertimbangan KPKT adalah berdasarkan kepada permohonan yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan pemimpin tempatan.
“Anggaran kos bagi pembinaan rumah baharu adalah sekitar RM90,000 sementara itu kerja-kerja baik pulih bagi kesemua 10 rumah dianggarkan menelan kos RM20,000 dan ia bergantung kepada tahap kerosakan.
“Pelaksanaan ini melibatkan seluruh daerah Alor Gajah dan kini MPAG sedang menilai serta meneliti permohonan baik pulih rumah yang diterima,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Program Masyarakat Di Hati MPAG 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untutk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek yang disempurnakan Adun Gadek Datuk VP Shanmugam di Kampung Sri Tanjung, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, TPr. Saifuddin berkata, langkah itu mencerminkan komitmen MPAG dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian, khususnya golongan memerlukan.
“Setiap bantuan yang disalurkan bukan sekadar memenuhi keperluan, tetapi sebagai usaha mengembalikan keyakinan dan harapan masyarakat.
“MPAG sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan terutama dalam pembangunan fizikal serta kebajikan masyarakat dalam kawasan pentadbiran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


