
MELAKA TUAN RUMAH KONGRES DUNIA ‘EAROPH’ 2026
AYER KEROH 14 April – Melaka sekali lagi mencipta nama di pentas antarabangsa apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran 30th EAROPH World Congress yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 April 2026.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, kongres berprestij itu merupakan perhimpunan antarabangsa melibatkan pakar dalam bidang perancangan bandar serta kemanusiaan dari pelbagai negara.
Menurutnya, penganjuran kali ini bertemakan ‘City Assets for Community Gains’ dan memberi fokus kepada aspek perancangan bandar, kelestarian serta kesejahteraan komuniti peringkat global.
“EAROPH ini merupakan badan yang melibatkan perancangan dan kemanusiaan, sebelum ini kongres dianjurkan luar Malaysia. Namun tahun lalu Melaka telah dipilih sebagai tuan rumah bagi tahun 2026.
“MBMB pula bertindak sebagai jabatan pelaksana bagi memastikan kelancaran penganjuran kongres ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Tambahnya, majlis perasmian kongres dijadual berlangsung pada 24 April yang akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof bersama kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Courtyard by Marriott Melaka.
“Kita menjangkakan lebih 400 peserta akan hadir termasuk delegasi antarabangsa. Setakat ini kita menerima maklum balas yang sangat positif daripada pelbagai negara iaitu dengan penyertaan telah melebihi 60 orang.
“Antara negara yang dijangka hadir termasuk Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina, selain beberapa negara lain termasuk dari Asia Barat,” katanya.
Mengulas lanjut, Shadan berkata pemilihan Melaka sebagai lokasi penganjuran membuktikan negeri ini semakin mendapat pengiktirafan sebagai destinasi utama bagi acara bertaraf antarabangsa.
“Bukan mudah untuk menjadi tuan rumah kepada kongres seperti ini. Ia menunjukkan Melaka kini menjadi antara lokasi pilihan untuk penganjuran persidangan, perbincangan dan perkongsian idea di peringkat global,” katanya.
Kongres Dunia EAROPH dianjurkan setiap dua tahun dan menjadi platform penting bagi pertukaran idea serta amalan terbaik dalam pembangunan bandar mampan dan kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


