
MASJID MERCU BAHARU PEKAN SELANDAR
ASAHAN 15 April – Pembinaan Masjid Baru Selandar menjadi mercu tanda baharu penduduk di Selandar apabila mampu menampung sehingga 1,200 jemaah sekali gus menyatukan komuniti setempat.
Pengerusi Masjid Al Iffah Selandar, Bahtiar Md Yusuf, 65, berkata, projek pembinaan masjid itu kini telah mencapai kira-kira 90 peratus dan dijangka siap serta akan diserahkan pada Mei 2026.
Menurutnya, kewujudan masjid baharu itu amat dinantikan penduduk berikutan masjid lama di Pekan Selandar tidak lagi mampu menampung keperluan jemaah yang semakin bertambah.
“Masjid lama hanya mampu menampung sekitar 400 jemaah sahaja, sedangkan komuniti di sini semakin berkembang dengan adanya pelbagai institusi pendidikan.
“Dengan adanya masjid baharu ini, jemaah dapat berkumpul di satu tempat yang lebih selesa,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di tapak projek pembinaan masjid berkenaan.
Menurutnya, pembinaan masjid itu bermula hasil permohonan yang telah lama diusahakan sebelum diperkukuh ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.
“Ketika itu calon yang bertanding, Datuk Fairul Nizam Roslan yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan memberi maklum balas positif dan membantu mempercepatkan kelulusan projek berkenaan.
“Permohonan ini sudah lama diperjuangkan, dan Alhamdulillah akhirnya mendapat kelulusan. Ia satu kelegaan dan kegembiraan buat penduduk yang menunggu sekian lama,” katanya.
Tambahnya, projek pembinaan masjid bernilai RM8.6 juta itu bukan sahaja memenuhi keperluan ibadah, malah dijangka menjadi pusat penyatuan komuniti serta aktiviti masyarakat setempat.
“Insya-Allah, masjid ini akan digunakan sepenuhnya menjelang Hari Raya Aidiladha nanti dan kita merancang untuk melaksanakan ibadah korban.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan pembinaan masjid ini, khususnya kepimpinan setempat yang sentiasa prihatin terhadap keperluan masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


