Sorting by

×

MBMB KONGSI REZEKI SEMPENA ULANG TAHUN KE-23

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PENGKALAN BATU 17 April – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyalurkan sumbangan kepada sekolah dan masjid dalam kawasan pentadbirannya sempena sambutan Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) MBMB untuk mengembalikan semula hasil kepada rakyat.

Katanya, sebanyak lima sekolah menerima RM2,000 bagi memberi fokus kepada pembangunan pendidikan dan modal insan pelajar.

“Sumbangan ini umpama kita berkongsi rezeki selain membuktikan komitmen MBMB dalam memastikan hasil pembangunan kembali dinikmati rakyat.

“Lima sekolah yang menerima sumbangan ini adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas; SMK Agama (SMKA) Tun Perak; Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC); SMK Tinggi Melaka dan Kolej Vokasional Melaka Tengah.

“Manakala kira-kira 200 pelajar madrasah Pondok Darul Ulum Al-Arabiyyah Al-Islamiyyah, Klebang turut menerima sumbangan RM50 seorang,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin Perdana Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Melaka Bersejarah Tahun 2026 di Masjid Al-Azim, di sini, pada Khamis.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, pada majlis itu juga MBMB turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada Masjid Al-Azim.

“Pendekatan CSR MBMB ini selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan masyarakat secara inklusif melalui pengukuhan pendidikan, kebajikan dan nilai sahsiah.

“Sebelum ini, MBMB telah melaksanakan Majlis Bacaan Yasin di 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran kita dan kemuncaknya adalah Bacaan Yasin Perdana di Masjid Al Azim ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

345
Kongsi :
Previous post BN PERLU PERTAHANKAN MAJORITI TIGA PEREMPAT PADA PRN MELAKA – AHMAD ZAHID
Next post MELAKA ‘PENTAS’ SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA, PANTAI TANJUNG BIDARA BAKAL JADI TUMPUAN