Sorting by

×

MELAKA ‘PENTAS’ SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA, PANTAI TANJUNG BIDARA BAKAL JADI TUMPUAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 17 April – Dataran Tanjung Bidara dipilih menjadi lokasi Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang dijadual pada 24 dan 25 April ini.

Bertemakan ‘Air Milik Semua’, acara anjuran bersama Kerajaan Negeri dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan serta kelestarian sumber air negara.

Sambutan yang diadakan selama dua hari itu bakal diisi dengan pelbagai pengisian menarik, antaranya pameran daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Badan Kawal Selia Air (BKSA), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) dan lain-lain lagi.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain turut diadakan Jualan Rahmah Madani serta pelbagai aktiviti komuniti seperti pertandingan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak.

Tidak ketinggalan, karnival sukan rakyat dijangka memeriahkan suasana dengan acara sukan tradisional seperti konda kondi, tarik tali dan bola tampar pantai.

Selari dengan matlamat kelestarian, program penghijauan turut akan dilaksanakan di sekitar pesisir pantai sebagai usaha memelihara alam sekitar.

Majlis Perasmian HAS 2026 bakal disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

WhatsApp Image 2026 04 17 at 13.49.21
KETUA Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika menerima kunjung hormat Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia Datuk Ir. Mohamad Radzi Abdul Talib mengenai penganjuran Sambutan Hari Air Sedunia 2026.

Turut hadir, Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta barisan kepimpinan persekutuan dan negeri.

Selain itu, pada majlis perasmian itu juga bakal diadakan penyampaian beberapa anugerah, antaranya Anugerah Pembangunan Sumber Air; Anugerah Penyelidikan Ekohidrologi dan Anugerah Khas Sumber Air.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

716
Kongsi :
Previous post MBMB KONGSI REZEKI SEMPENA ULANG TAHUN KE-23