
UMNO TERIMA KEMBALI 6,252 BEKAS PIMPINAN DAN AHLI TERMASUK KJ, HISHAMMUDDIN
AYER KEROH 17 April – Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar menjadi antara 6,252 bekas pimpinan dan ahli yang diterima kembali ke pangkuan UMNO tanpa syarat.
Ia diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu diambil bagi menyokong dan mendukung penuh gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden UMNO.
“Jadi, keputusan yang diambil adalah kita menerima secara pukal, termasuk nama-nama yang disebutkan sama ada mereka sebelum ini dipecat, digantung atau keluar parti.
“Penerimaan kembali semua bekas pimpinan dan ahli ini adalah tanpa syarat dan ia merupakan yang telah diputuskan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Jadi, jawatankuasa ini telah mengangkat ke peringkat MKT kerana dari sudut perlembagaan, ia keputusan mesti melalui MKT dan kita telah meluluskannya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.
Terdahulu, Mesyuarat MKT UMNO telah dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang tiba di MITC kira-kira jam 8.45 malam.
Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh serta ahli-ahli MKT.
Turut bersama, Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Dr. Asyraf Wajdi berkata, MKT juga telah memutuskan untuk menurunkan kuasa kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk memudah cara atau mempercepatkan kemasukan kembali pimpinan atau ahli-ahli lain menyertai UMNO pada masa akan datang.
“Ini akan lebih memudahkan, di mana ia tidak perlu lagi menunggu kelulusan MKT. Jadi atas semangat Rumah Bangsa, kita mengalu-alukan semua untuk menyertai gasan Rumah Bangsa ini termasuk ahli-ahli baharu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


