Sorting by

×

PROJEK BINA IPD MELAKA TENGAH DIJANGKA BERMULA TAHUN DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

PAYA RUMPUT 17 April – Projek pembinaan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Balai Polis Tanjung Minyak ke lokasi baharu yang telah diluluskan sedang dalam fasa kajian nilai kos bagi memperincikan skop dan keperluan sebenar sebelum dilaksanakan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata kajian tersebut akan dilaksanakan menerusi Makmal Kajian Nilai (VA Lab) yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini.

Menurut beliau, proses itu dilakukan bagi membolehkan kerajaan khususnya Kementerian Ekonomi meneliti secara menyeluruh aspek skop, kos serta keutamaan projek sebelum ia diteruskan ke peringkat seterusnya.

“Ini adalah prosedur biasa dalam pelaksanaan mana-mana projek bagi memastikan setiap perancangan dibuat secara teliti dan teratur, sekali gus mengelakkan sebarang isu di peringkat pelaksanaan,” katanya pada sidang media ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra YB Timbalan Menteri Dalam Negeri bersama Pesara dan Anggota Polis Tanjung Minyak di Balai Polis Tanjung Minyak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, selepas penelitian dan kajian selesai, projek tersebut dijangka memasuki fasa seterusnya dengan iklan tender dibuka seawal tahun 2027.

“Kajian nilai ini dijangka dilaksanakan pada bulan Jun ini, insya-Allah dan selepas itu, langkah seterusnya akan diambil termasuk proses tawaran tender kepada kontraktor yang berkelayakan.

“Selepas proses kajian nilai selesai, kita akan ke peringkat tawaran tender kepada kontraktor yang berkelayakan awal tahun hadapan.

“Projek ini dijangka mencapai peringkat Surat Setuju Terima (SST) sekitar pertengahan 2027 sebagai permulaan pembinaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek kebajikan anggota polis kekal menjadi keutamaan kerajaan termasuk penyediaan fasiliti yang lebih selesa dan efisien bagi menyokong tugasan harian mereka.

Katanya, pembinaan IPD dan Balai Polis Tanjung Minyak itu juga akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk indeks jenayah, komposisi penduduk serta kepentingan kawasan Melaka Tengah sebagai antara kawasan tumpuan utama di negeri ini.

“Sebahagian kemudahan sedia ada telah lama dibina dan tidak lagi memenuhi keperluan semasa, justeru pembinaan baharu amat diperlukan bagi memastikan kecekapan perkhidmatan serta kesejahteraan anggota,” katanya.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan, cadangan pembinaan bangunan baharu IPD Melaka Tengah telah diangkat dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan menelan anggaran kos sebanyak RM250 juta di atas sebidang tanah berkeluasan tanah berkeluasan 4.84 hekta di Krubong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

399
Kongsi :
Previous post MELAKA HALAL HUB 2.0 TARIK MINAT PELABUR JEPUN, CHINA
Next post LEBIH 200 PRODUK HALAL MELAKA TEMBUSI PASARAN GLOBAL