
MELAKA HALAL HUB 2.0 TARIK MINAT PELABUR JEPUN, CHINA
SERKAM 17 April – Melaka memperkukuh langkah strategik dalam industri halal apabila memperluaskan pembangunan Melaka Halal Hub 2.0 bernilai RM35 juta bagi meningkatkan kapasiti serta daya saing negeri di peringkat global.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan hab itu bukan sekadar inisiatif Kerajaan Negeri, bahkan lahir daripada permintaan sebenar pelabur antarabangsa termasuk dari Jepun dan China yang melihat Melaka sebagai lokasi strategik untuk muncul sebagai hab halal serantau.
“Justeru, keperluan untuk memperluas kawasan Melaka Halal Hub 2.0 menjadi satu langkah yang tidak boleh ditangguhkan bagi menampung peningkatan minat pelabur serta memperkukuh kapasiti dan daya saing ekosistem halal negeri ini.
“Insya-Allah, projek ini dijangka siap pada 2027 dan bakal dilengkapi dengan 64 unit kilang teres dua tingkat serta 17 lot industri bersama fasiliti moden yang memenuhi keperluan industri halal masa kini.
“Tahniah kepada Perbadanan Melaka (MCORP) dan PDG Development Sdn Bhd atas komitmen serta kerjasama merealisasikan projek ini yang menjadi pemangkin kepada pembangunan industri halal negeri,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Pecah Tanah Melaka Halal Hub 2.0 di Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub 2.0 di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan; Ketua Pegawai Eksekutif MCORP Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Pengarah Urusan PDG Development Sdn Bhd Datuk Seri Gwee Yew Kiat serta Ketua Pegawai Kewangan Halal Development Corporation Berhad Ainul Azman Ainul Jamal.
Menurut Ketua Menteri, Melaka Halal Hub 2.0 dijangka menarik pelaburan sehingga RM100 juta serta berpotensi mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Melaka.
“Bagi fasa tersebut Kerajaan Negeri mensasarkan sekurang-kurangnya 10 pelabur strategik serta 45 usahawan tempatan bagi menggerakkan ekosistem halal yang lebih mampan dan berdaya saing.
“Melaka Halal Hub 2.0 ini akan menjadi platform strategik pembangunan modal insan melalui pelaksanaan program latihan dan pensijilan termasuk pematuhan kepada piawaian MeSTI, Good Manufacturing Practice (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


