Sorting by

×

MATTA FAIR 2026 KETENGAH KEMPEN ‘WOW MELAKA’

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 18 April – ‘Wow Melaka’ menjadi antara kempen yang diangkat Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka pada penganjuran MATTA Fair Melaka 2026 yang berlangsung 17 hingga 19 April di Mahkota Parade.

Pengerusi MATTA Melaka Goh Hock Gin berkata, kempen itu dibawakan bertujuan untuk menyokong pemain industri pelancongan di negeri ini, selain mempromosikan pelbagai keunikan dan tarikan yang ada di bumi bersejarah ini.

Jelas beliau, menerusi ‘Wow Melaka’ pelbagai permata pelancongan menarik seperti Ekopelancongan Paya Lebar, Melaka Sea Cruise dan Taman Laut Melaka diperkenalkan kepada pengunjung, di mana ia secara tidak langsung membuka mata bahawa Melaka merupakan sebuah destinasi pelancongan yang wajib dilawati.

“Melaka memang terkenal dengan sejarah dan ia menjadi tumpuan pelancong luar negara. Tetapi pada masa sama, kita juga ada pelbagai produk ekopelancongan yang boleh diketengahkan seperti di Paya Lebar dan Sungai Linggi.

“Di situ, tersimpan pelbagai khazanah menarik yang mungkin tidak diketahui ramai antaranya kilang arang berusia 100 tahun, selain pengunjung juga boleh menangkap lokan dan memasaknya di situ.

“Pada masa sama, kita juga ada Taman Laut Melaka di tiga pulau iaitu Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka dengan tarikan seperti snorkeling, scuba diving dan island hopping, selain Melaka Sea Cruise yang menawarkan pelayaran menyaksikan keindahan matahari terbenam. Kesemua ini kita rangkumkan di bawah ‘Wow Melaka’ untuk menyokong dan memperkasa pelancongan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian MATTA Fair Melaka 2026 yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di Mahkota Parade, di sini, hari ini.

IMG 20260418 190146
HOCK GIN. Foto Afiq Mustaffa

Menurut Hock Gin, MATTA Fair Melaka 2026 menawarkan lebih 150 pakej pelancongan menarik pada harga istimewa, di mana ia membabitkan sebanyak 40 reruai dan 70 ejen pelancongan.

Jelas beliau, selama tiga hari berlangsungnya pameran itu, pihaknya menyasarkan nilai jualan RM10 juta dan ia dijangka mampu dicapai selepas melihat sambutan cukup hebat daripada pengunjung dalam dan luar Melaka.

/END

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

548
Kongsi :
Previous post MELAKA TELITI INSENTIF BANTU PENGGIAT PELANCONGAN TERKESAN KRISIS TENAGA