
MELAKA TELITI INSENTIF BANTU PENGGIAT PELANCONGAN TERKESAN KRISIS TENAGA
BANDA HILIR 18 April – Kerajaan Negeri sedang meneliti mekanisme terbaik dalam membantu penggiat industri pelancongan yang terkesan dengan krisis tenaga global susulan konflik Asia Barat.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama pemain-pemain industri bagi mendapatkan cadangan dan maklum balas mereka berhubung situasi yang berlaku kini.
Jelas beliau, menerusi perbincangan itu, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan kaedah terbaik, termasuk pemberian insentif dalam usaha meringankan beban pihak-pihak yang terjejas.
“Seperti kita tahu, isu tenaga ini memberi kesan kepada semua sektor dan pelancongan juga tidak terkecuali. Jadi kita sedang mencari kaedah terbaik untuk membantu pemain-pemain industri pelancongan di Melaka ini.
“Kita sudah mula berbincang dan akan memikirkan kaedah terbaik seperti insentif yang dapat membantu mereka yang terjejas,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan MATTA Fair Melaka 2026 di Mahkota Parade, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Mohd Roslan Abdullah; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka, Goh Hock Gin serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Abdul Razak optimis penganjuran pelbagai acara menarik yang dirangka, selain promosi pelancongan yang ditawarkan sepanjang tahun dapat memastikan Melaka kekal menjadi destinasi pilihan pelancong baik dari dalam mahupun luar negara.
Pada masa sama, ujar beliau usaha berterusan akan terus digerakkan bagi mengurangkan impak yang boleh menjejaskan sektor pelancongan susulan konflik dunia yang berlaku.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


