Sorting by

×

WRUR: MACHAP JAYA ‘TAK RILEKS’, 98 PROGRAM JELAJAH KAMPUNG SELAMA SEMINGGU

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

MACHAP JAYA 18 April – Sebanyak 98 program menarik dirangka sepanjang seminggu berlangsungnya program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya yang membuka tirai hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata, program-program tersebut bakal melibatkan keseluruhan rakyat berbilang kaum di DUN berkenaan, selain turut membabitkan masyarakat Orang Asli dari tujuh buah Kampung Orang Asli.

“Pastinya pembabitan masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan apabila terdapat tiga program membabitkan komuniti tersebut bakal diadakan antaranya program Kebudayaan dan kesihatan.

“Pembabitan masyarakat Orang Asli secara tidak langsung mampu merapatkan jurang dengan masyarakat setempat selain dapat memupuk perpaduan serta penglibatan aktif komuniti ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Kursus Pra Perkahwinan Islam Peringkat Parlimen Alor Gajah Bersempena WRUR DUN Machap Jaya di Kompleks Japerun Machap Jaya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, sebanyak 214 aduan termasuk pemasalahan setempat telah disenarai untuk diselesaikan sempena WRUR DUN Machap Jaya.

Menurut beliau, kesemua aduan yang diterima itu akan diperhalusi dan dipertimbangkan sebelum tindakan dapat diambil dalam kadar segera.

“Pada awal perjumpaan terdapat kira-kira 190 aduan namun angka itu meningkat kepada 214 dan ia membabitkan pelbagai pemasalahan antaranya isu jalan rosak, bahu jalan dipenuhi semak, kebersihan dan sistem perparitan.

“Untuk itu kita akan cuba yang terbaik dalam menangani aduan serta pemasalahan yang diadukan agar penduduk dapat menjalani kehidupan harian dengan selesa serta selamat.

“Pastinya aduan-aduan ini amat membantu bukan sahaja dalam menambah baik infrastruktur di dalam DUN tetapi demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

319
Kongsi :
Previous post RAYA ‘STYLE JAWA’ WARNAI RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DUN AYER MOLEK
Next post MELAKA TELITI INSENTIF BANTU PENGGIAT PELANCONGAN TERKESAN KRISIS TENAGA