Sorting by

×

RAYA ‘STYLE JAWA’ WARNAI RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DUN AYER MOLEK

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER MOLEK 18 April – Penampilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman bersama isteri, Datin Zaini Lasim yang lengkap mengenakan busana tradisional Jawa mencuri tumpuan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Paya Dalam.

Kedua-dua mereka dilihat menyambut tetamu dengan penuh mesra, sekali gus menyerlahkan keunikan identiti komuniti jawa yang menjadi antara warisan budaya di kawasan tersebut.

Rahmad yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, majlis tersebut turut menampilkan lebih 15 jenis makanan tradisi jawa yang kini semakin sukar didapati.

Katanya, beliau mengambil pendekatan berkenaan bukan sahaja untuk memeriahkan suasana sambutan, malah menjadi simbol usaha memartabatkan budaya tradisi dalam kalangan masyarakat jawa sekitar DUN Ayer Molek

“Antara makanan jawa yang kita sajikan kepada tetamu adalah seperti punten, tiwol, gemblong, getok, lemper, jenang ireng, bubur abang, ubi godok, pisang urep serta pelbagai lagi yang mana hidangan ini kita mahu tetamu bukan sahaja melihat tetapi turut merasai sendiri keunikan makanan warisan ini.

“Kehadiran tetamu daripada pelbagai kaum termasuk pelancong dari Belanda dapat merasai sendiri keunikan sambutan Aidilfitri berkonsepkan budaya jawa yang kita bawakan.

“Pada saya, majlis sambutan hari raya berkonsepkan budaya jawa ini dilihat berpotensi menjadi produk pelancongan budaya sekiranya diketengahkan secara berterusan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Terdahulu, majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan turut barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, DUN Ayer Molek tahun ini tampil dengan kelainan apabila menganjurkan sambutan Aidilfitri di enam kampung sebelum kemuncaknya diadakan di Paya Dalam.

Jelas beliau, langkah itu bagi memastikan lebih ramai penduduk dapat bersama-sama memeriahkan sambutan tanpa kekangan jarak.

“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan di setiap lokasi dan kemuncak di Paya Dalam ini dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

354
Kongsi :
Previous post MATTA FAIR 2026 PERHEBAT TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0
Next post WRUR: MACHAP JAYA ‘TAK RILEKS’, 98 PROGRAM JELAJAH KAMPUNG SELAMA SEMINGGU