
WRUR GADEK: VETERAN ATM TERHARU DIHARGAI DI BAWAH PAYUNG ‘MESRA’
GADEK 17 April – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini terharu apabila menjadi antara golongan yang disantuni dan dihargai menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat.
Ia dizahirkan menerusi Program Sembang Santai Hi-Tea Bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pesara Polis sempena WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek di Kompleks Air Panas Gadek, di sini, pada Rabu.
Pada majlis santai itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada persatuan veteran ATM.
Ia secara tidak langsung mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan tiaga golongan terpinggir termasuk veteran tentera terus terbela di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
Menurut Ketua Cawangan Persatuan Veteran ATM Gadek Hamid Sulong, 66, dia bersama lebih 200 veteran yang hadir ke program santai itu berasa dihargai menerusi sumbangan yang diberikan itu.
“Sumbangan berjumlah RM10,000 ini merupakan yang pertama kali dalam sejarah persatuan kami terima jumlah yang begini besar.
“Sedikit sebanyak dapat memberikan kelegaan kepada ahli kerana persatuan veteran ini lebih memfokuskan kepada kebajikan berikutan rata-rata ahli telah berusia. Terima Kasih Kerajaan Negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dalam pada itu, seorang lagi veteran ATM, Brigedier Jeneral (B) Datuk Roslan Kassim, 75, menyifatkan program santai sempena WRUR DUN Gadek itu melambangkan kasih sayang Kerajaan Negeri mendekati bekas petugas barisan hadapan yang banyak berkorban demi negara.
“Program ini memberi ruang kepada pesara seperti kami ini menyuarakan keperluan, kekurangan dihadapi dan pelbagai lagi kekangan.
“Ketua Menteri ketika berucap mengumumkan ‘manis-manis’ kepada persatuan amatlah kami hargai. Ini bukti gagasan MeSRa,” katanya.

Nada sama turut disuarakan seorang lagi veteran, Mohd Lokman Mansor, 70, yang menyifatkan sumbangan itu sebagai tanda sokongan dalam memperkasa kebajikan veteran tentera di negeri ini.
“Sumbangan diberikan kepada persatuan amat bermakna buat kami memandangkan persatuan berdepan kekangan kewangan bagi menjaga kebajikan ahli.
“Kadang-kadang memang tidak cukup bajet untuk laksana aktiviti apatah lagi kebajikan, namun bila disuarakan terus kepada Ketua Menteri beliau tampil membantu, Alhamdulillah kami bersyukur,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


