Sorting by

×

MELAKA NEGERI PENERAJU AGENDA HALAL NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERKAM 17 April – Pelaburan mencecah RM467 juta yang direkodkan Melaka Halal Hub 1.0 sehingga Mac 2026 menjadi bukti kejayaan negeri ini dalam membangunkan industri halal sebagai antara pemacu utama ekonomi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan hab tersebut sejak tahun 2000 di atas kawasan seluas 134 ekar (54.23 hektar) berjaya memperkasa usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta menarik minat pelabur.

“Sehingga hari ini, hampir 97 peratus kawasan tersebut telah berjaya diisi, sekali gus membuktikan Melaka antara negeri paling progresif dalam pelaksanaan agenda halal negara.

“Kejayaan ini turut membolehkan Melaka menerima pengiktirafan ‘World Halal Excellence Award’ anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC),” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Pecah Tanah Melaka Halal Hub 2.0 di Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub 2.0 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam Datuk Zaidi Attan; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Pengarah Urusan PDG Development Sdn Bhd Datuk Seri Gwee Yew Kiat serta Ketua Pegawai Kewangan Halal Development Corporation Berhad Ainul Azman Ainul Jamal.

Menurutnya, kejayaan tersebut menjadi asas kukuh kepada pembangunan Melaka Halal Hub 2.0 yang dilihat mampu memperluas lagi potensi industri halal di negeri ini.

“Justeru majlis pecah tanah kali ini membawa makna signifikan dalam hala tuju negeri sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan ekonomi halal.

“Industri halal kini bukan lagi sektor sampingan, sebaliknya menjadi enjin pertumbuhan ekonomi utama negara dan berkembang sebagai ekonomi global bernilai trilion dolar merangkumi pelbagai sektor seperti makanan, kewangan, farmaseutikal, pelancongan dan gaya hidup,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

554
Kongsi :
Previous post PIDATO RUKUN NEGARA PIALA TYT MELAKA KEMBALI, SASAR LEBIH 10,000 PESERTA
Next post WRUR GADEK: VETERAN ATM TERHARU DIHARGAI DI BAWAH PAYUNG ‘MESRA’