
PIDATO RUKUN NEGARA PIALA TYT MELAKA KEMBALI, SASAR LEBIH 10,000 PESERTA
SERI NEGERI 17 April – Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026 kembali lebih meriah tahun ini dengan sasaran penyertaan lebih 10,000 peserta dari seluruh negara.
Pertandingan tahunan yang diadakan bagi mendidik dan menyemai semangat perpaduan rakyat berbilang kaum itu secara rasminya bermula hari ini (17 April) hingga 31 Julai 2026 bagi pendaftaran dan penerimaan video, diikuti proses penjurian pada 1 hingga 31 Ogos dan pentas akhir dijadual pada 15 September 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kejayaan edisi tahun lalu menarik penyertaan berjumlah 9,321 orang membuktikan pertandingan tersebut kini berada di kelas tersendiri dan menjadi antara yang berprestij dalam negara.
Jelas beliau, pada tahun ini, sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi, bukan Melayu dan kategori awam.
“Hadiah yang ditawarkan kekal menarik iaitu RM3,000 bagi johan untuk semua kategori, manakala naib johan membawa pulang RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000, selain RM500 untuk saguhati tempat keempat dan kelima berserta buku, piala dan sijil.
“Selain itu, anugerah khas seperti Persembahan Terbaik, Anugerah Khas Juri dan Piala Menteri Perpaduan turut dikekalkan seperti edisi lepas,” katanya kepada pemberita pada sidang media Pelancaran Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) Prof. Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Hee Sem memaklumkan, tema pertandingan pada tahun ini adalah ‘Bersama Membina Negara Bangsa’, seiring dengan usaha untuk membina sebuah negara yang bersatu, stabil dan harmoni.
Tambahnya, pada tahun ini, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama erat dengan Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia, selain semua jabatan dan agensi terlibat dalam memastikan nilai perpaduan melalui Rukun Negara terus diperkukuh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


