Sorting by

×

MUALAF MAIM TEMUI MAKNA SEBENAR IBADAH KORBAN

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KESIDANG 1 Jun – Semangat kebersamaan dan gotong-royong dalam ibadah korban menjadi pengalaman cukup bermakna buat mualaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang berpeluang menyertai program Projek Sunduk Korban.

Projek Sunduk Korban merupakan antara inisiatif pengumpulan lebihan daging korban yang akan disimpan secara sejuk beku dan dibungkus secara kedap udara sebelum diagihkan semula kepada golongan asnaf, fakir miskin dan mereka yang memerlukan pada masa yang sesuai.

Menurut Kamarul Denis Tan, 35, penglibatannya sebagai sukarelawan dalam program tersebut bukan sahaja memberi pengalaman baharu malah mengeratkan lagi ukhuwah antara mualaf yang lain.

“Saya kali pertama menyertai program ini tahun lalu dan boleh dikatakan agak pada mulanya agak gementar kerana tidak tahu cara menguruskan daging korban, namun saya bersyukur ramai rakan-rakan sukarelawan memberi tunjuk ajar.

“Alhamdulillah tahun ini perasaan gugup sudah tiada malah saya juga tidak kekok lagi untuk uruskan daging korban bersama rakan yang lain.

“Meskipun datang daripada pelbagai latar belakang dan kaum tetapi kami bagaikan satu keluarga besar berganding bahu menguruskan amanah yang diberikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Program Projek Sunduk Korban di Kompleks Darul Huda, Balai Islam MAIM, baru-baru ini.

Tambah Kamarul, peluang menyertai program itu dimanfaatkan sepenuhnya kerana mahu mendalami lagi penghayatan ibadah korban selain menyumbang tenaga sebagai sukarelawan demi ganjaran pahala sebagai seorang muslim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

461
Kongsi :
Previous post WRUR BANDA HILIR: BAUCAR BELI BELAH RINGANKAN BEBAN B40