
BATIK HUTAN PERCHA SEMAKIN DIKENALI
MACHAP JAYA 2 Jun – Hampir setahun bertatih, perusahaan Batik Melaka diusahakan Komuniti Felda Hutan Percha semakin berkembang dengan menghasilkan 30 produk baharu.
Peserta Makmal Pembangunan Dan Pengeluaran Produk Kraf Batik Terap Fasa 1, Hutan Percha Maizura Mohd Yussof, 43, berkata perkembangan positif itu adalah hasil daripada sambutan amat menggalakkan terhadap Batik Melaka daripada pelanggan domestik dan antarabangsa.
Katanya, hasil perbincangan dan sumbangan idea ahli komuniti pihaknya kini tampil menawarkan produk baharu yang antaranya adalah ‘blazer’ untuk wanita dan kimono yang dihasilkan daripada batik yang diusahakan sendiri oleh mereka.
Selain itu katanya, produk lain dihasilkan menggunakan Batik Melaka adalah, cenderahati seperti ‘key chain’ (rantai kunci) dalam bentuk setanjak, kipas buluh, getah pengikat rambut, baju kanak-kanak dan wanita.
“Alhamdulillah produk keluaran kami mendapat sambutan menggalakkan, selain pelancong yang datang ke Felda Hutan Percha, kami juga kerap mengambil bahagian dalam eskpo dianjurkan luar Melaka seperti Festival Kraf Johor 2025 di Johor Bahru.
“Bermula dengan objektif mahu memartabatkan seni warisan, perusahaan kami semakin berkembang, diharapkan momentum ini berterusan dan memperkasakan lagi Batik Melaka sama seperti produk-produk lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Maizura, pihaknya berkerjasama dengan agensi berkenaan seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) khusus bagi mendapatkan pandangan dan nasihat berhubung aspek pembangunan produk serta pemasaran.
Perusahaan itu secara tidak langsung menjadi pelengkap kepada produk pelancongan luar bandar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.
Selain sambutan hangat daripada peminat batik dari Singapura, produk dari Felda Hutan Percha ini juga menawan pelancong England, Jepun dan Finland.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

