
BAYI SEBULAN CEDERA KEPALA, DIPERCAYAI TERCAMPAK KELUAR KERETA
KESIDANG 2 Jun – Seorang bayi lelaki berusia sebulan cedera selepas dipercayai tercampak keluar daripada kenderaan yang dinaiki bersama ibu dan bapanya dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah – Melaka – Jasin (AMJ) berhampiran sebuah stesen minyak Balai Panjang, di sini, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Halim Abas berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam melibatkan sebuah Proton Saga yang dinaiki tiga sekeluarga.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati Proton Saga berkenaan keluar dari kawasan stesen minyak terbabit untuk memasuki Lebuh AMJ sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi kenderaan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penumpang wanita mengadu sakit di bahagian belakang badan manakala seorang bayi lelaki berusia sebulan mengalami bengkak di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang selepas keadaan mereka disahkan stabil.
Halim berkata, berdasarkan siasatan setakat ini, bayi berkenaan berada dalam pangkuan ibunya yang duduk di bahagian penumpang belakang ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, bayi tersebut dipercayai telah terkeluar daripada kenderaan semasa kemalangan dan ditemui berada di kawasan berumput berhampiran lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mendapatkan gambaran penuh berhubung bagaimana kejadian tersebut berlaku,” katanya.
Tambah beliau, polis telah mengenal pasti kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kemalangan itu dan siasatan lanjut sedang diteruskan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Adhwa Jamal di talian 011-26905852 bagi membantu siasatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


