
PERCUTIAN DAMAI CUTI SEKOLAH DENGAN ECO CRUISE SUNGAI LINGGI
AYER LIMAU 2 Jun – Mahu ‘healing’ sambil menikmati keindahan alam semulajadi? Eco Cruise adalah pilihan paling tepat untuk seisi keluarga.
Menariknya, sempena cuti sekolah dan cuti panjang kali ini, produk ekopelancongan di bawah Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu menawarkan promosi istimewa untuk pengunjung dan pelancong.
PPSPM dalam satu kenyataan memaklumkan, promosi itu berlangsung sehingga 7 Jun ini, di mana, ia menawarkan diskaun 10 peratus bagi setiap pakej yang turut merangkumi sajian sarapan pagi atau makan tengah hari.
Bagi pakej ‘cruise’ dilengkapi sarapan, harga yang ditawarkan hanya RM55 untuk dewasa dan RM50 untuk kanak-kanak, manakala pakej dilengkapi makan tengah hari berharga RM70 dewasa dan RM65 kanak-kanak bagi warganegara Malaysia.
Untuk pelancong antarabangsa pula, harga ditawarkan adalah RM85 dewasa dan RM60 kanak-kanak untuk pakej pelayaran berserta sarapan, manakala pakej makan tengah hari berharga RM90 dewasa dan RM75 kanak-kanak.
“Tawaran istimewa ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pengunjung menikmati pengalaman menelusuri Sungai Linggi sambil menghayati keindahan alam semula jadi dan ekosistem sungai yang masih terpelihara.
“Ayuh cipta memori indah bersama seisi keluarga sempena cuti sekolah kali ini,” kata PPSPM.
Tambah kenyataan itu, pakej itu hanya sah di Jeti Ecotourism Paya Lebar sahaja, di mana ia juga tertakluk kepada keadaan cuaca dan paras air semasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

