Sorting by

×

HOSPITAL ALOR GAJAH RAIH PENSIJILAN MSQH PERTAMA

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

ALOR GAJAH 19 April – Hospital Alor Gajah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya memperoleh pensijilan Malaysian Society for Quality In Health (MSQH) buat julung kali selepas melalui proses penilaian rasmi pada 19 hingga 21 Januari lalu.

Pensijilan berprestij itu menjadi bukti komitmen tinggi hospital berkenaan dalam memastikan kualiti perkhidmatan serta keselamatan pesakit supaya sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Kejayaan tersebut merupakan hasil usaha kolektif seluruh warga kerja Hospital Alor Gajah yang sentiasa mengamalkan nilai profesionalisme, semangat kerja berpasukan serta meletakkan kepentingan pesakit sebagai keutamaan dalam setiap aspek perkhidmatan.

Menurut pihak hospital, pengiktirafan MSQH itu juga menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkukuh budaya kualiti, keselamatan serta penambahbaikan berterusan.

“Pensijilan ini bukan sahaja satu pencapaian, malah menjadi dorongan untuk kami terus memastikan perkhidmatan kesihatan yang diberikan adalah selamat, efektif dan berfokuskan pesakit,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Hospital Alor Gajah turut mencatat beberapa lagi pencapaian membanggakan sepanjang tahun lalu, termasuk menerima Hospital Star Awards for Outstanding Quality & Performance selama dua tahun berturut- turut.

Selain itu, hospital berkenaan juga memperoleh pengiktirafan Sijil Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Pensijilan EKSA (Kategori Cemerlang) serta Pensijilan Hospital Mesra Ibadah dan Pain Free Hospital.

Hospital Alor Gajah komited untuk terus mengekalkan standard tertinggi, sejajar dengan aspirasi Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

362
Kongsi :
Previous post PPBAPM MELAKA WIRA KOMUNITI TAK DIDENDANG
Next post HARGAI JASA GURU, KAGUMI SEMANGAT KEBERSAMAAN ORANG MASJID TANAH