PRN MELAKA: PERSAINGAN SIHAT, POLITIK MATANG JADI LANDASAN – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

TANJUNG BIDARA 4 November – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 yang memasuki hari kelima berlangsung dalam suasana politik matang tanpa dicemari unsur kebencian, hasutan dan fitnah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, beliau berpuas hati dengan perkembangan kempen setakat ini yang memperlihatkan persaingan politik secara sihat dalam kalangan parti bertanding.

Ab Rauf yang juga calon BN bagi kerusi N02 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara berkata, suasana itu mencerminkan kematangan politik yang berteraskan adat dan budaya masyarakat negeri ini.

Menurutnya, garis panduan serta batas dalam berkempen berjaya dipelihara bagi memastikan persaingan politik tidak melampaui batas sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Pada kempen kali ini kita berjaya meletakkan satu garis panduan yang cukup kemas dan sempadan yang baik supaya tidak dilepasi oleh mana-mana parti.

“Bagi saya, ini satu politik matang yang datang dan lahir daripada adat serta budaya orang Melaka. Orang Melaka ini nampak kasar tetapi sebenarnya bergurau,” katanya.

Calon nombor 2 DUN Tanjung Bidara ini berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Ceramah Kempen DUN Tanjung Bidara (Cawangan Lubok Redan) di Kampung Lubok Redan, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama dengan rakan strategik Perikatan Nasional (PN), Ab Rauf berkata, hubungan kedua-dua pihak berada pada tahap terbaik dengan komitmen bersama dalam memastikan kelancaran kempen.

Katanya, kerjasama itu dapat dilihat menerusi kehadiran penyokong BN, PAS dan PN yang bersama-sama menyertai program ceramah serta aktiviti kempen di kawasan berkenaan.

“Kerjasama BN-PN berada pada tahap yang terbaik. Contohnya, malam ini kita mengadakan ceramah dan orang BN, PAS serta PN hadir bersama-sama memberikan sokongan.

“Seperti yang saya tegaskan, BN-PN akan terus bergerak bersama dalam suasana politik matang menuju 14 November ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘BIRUKAN PANTAI KUNDOR’, PAS ZAHIR SOKONGAN BUAT TUMINAH