ANGKATAN SIBER ATM BEROPERASI MENJELANG 2030

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

TELOK MAS 4 November – Kementerian Pertahanan menyasarkan penubuhan Angkatan Siber sebagai cabang keempat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat direalisasikan selewat-lewatnya pada 2030.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh keupayaan pertahanan negara dalam menghadapi ancaman serangan siber yang kini menjadi sebahagian daripada landskap peperangan moden.

“Kita sentiasa memantau dan mencegah ancaman siber bagi memastikan keselamatan pertahanan negara terpelihara kerana setiap hari ada sahaja serangan siber.

“Atas sebab itu, kita mencadangkan supaya diwujudkan cabang keempat ATM iaitu cabang siber yang lebih mantap dan fokus. Kita mungkin akan mengambil masa paling lambat pada 2030 untuk dilancarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Jiwa Murni MADANI Kementerian Pertahanan – Penyerahan Projek Di Telok Mas, di Balai Raya Tanjung Nibong, di sini, hari ini.

Hadir sama, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal.

Menurut Mohamed Khaled, perkembangan teknologi dan perubahan bentuk peperangan menuntut ATM memperkukuh kesiapsiagaan bukan sahaja dalam menghadapi ancaman di darat, laut dan udara, malah ancaman melibatkan ruang siber.

“Buat masa ini, keupayaan pertahanan siber sudah dilaksanakan menerusi rejimen-rejimen siber yang kita ada, namun kita mahu mengangkatnya menjadi satu cabang khusus dalam ATM.

“Penubuhan cabang Tim Nukleus Angkatan Siber yang dilaksanakan pada 19 September lalu membolehkan ATM memberikan tumpuan lebih menyeluruh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

577
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: PESANAN ‘ORANG LAMA’ BUAT YB HELMY
Next post PRN MELAKA: ‘AYER MOLEK SATU HATI’ JADI SLOGAN RIDHWAN