PENGURUSAN BEKALAN TENAGA PERLU SEIRING PELABURAN PUSAT DATA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LINGGI 4 November – Pembangunan pusat data di Melaka perlu disokong perancangan menyeluruh melibatkan kapasiti bekalan elektrik, rangkaian grid dan kemudahan utiliti bagi memastikan kemasukan pelaburan industri digital dapat dilaksanakan secara mampan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkembangan pusat data yang semakin pesat, selain industri kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan semikonduktor, meletakkan tuntutan lebih tinggi terhadap keupayaan sistem tenaga negara.

Katanya, perkembangan projek pusat data yang sedang diteroka di Melaka menerusi kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (MCORP) dan Edra memperlihatkan kepentingan menyelaraskan pelaburan digital dengan kesiapsiagaan infrastruktur asas.

“Pembangunan pusat data yang sedang diteroka di Melaka menggambarkan dengan jelas keperluan ini.

“Peluang yang sedang diteroka menerusi kerjasama antara MCORP dan Edra mengukuhkan kepentingan menyelaraskan pelaburan digital dengan ketersediaan bekalan elektrik, kapasiti grid, air serta kemudahan utiliti penting lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Pada Majlis Perasmian Persidangan Penjanaan Kuasa Turbin Gas (CGNEI) 2026  di Pusat Latihan Kemahiran Turbin Gas CGNEI (CGNEI GTSTC), Loji Jana Kuasa Edra Melaka (EMPP), di Telok Gong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar; Pengerusi CGN Energy International Holdings Co. Limited Zhang Chaoqun serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut Fadillah berkata, kerajaan perlu memastikan pembangunan infrastruktur tenaga dilaksanakan seiring pertumbuhan ekonomi supaya kekangan kapasiti tidak menjadi penghalang kepada kemasukan pelaburan baharu.

Menurutnya, unjuran permintaan puncak elektrik di Semenanjung Malaysia dijangka meningkat daripada 21.3 gigawatt (GW) pada 2026 kepada 33.5GW menjelang 2035.

Jelasnya, peningkatan itu memerlukan keputusan tepat pada masanya serta penyelarasan rapi antara kerajaan dan pemain industri bagi memastikan infrastruktur mampu memenuhi keperluan masa depan.

“Matlamat kita mesti disokong persediaan rapi dan penggunaan sumber secara bertanggungjawab.

“Pelaburan dalam sektor tenaga bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada penjanaan elektrik, malah perlu merangkumi pengukuhan sistem penghantaran dan pengagihan bagi memastikan bekalan dapat disalurkan dengan cekap.

“Pembangunan pusat data dan industri bernilai tinggi berpotensi membuka peluang pekerjaan berkualiti, memperkukuh perusahaan tempatan serta meningkatkan keupayaan teknologi negara sekiranya disokong infrastruktur yang mencukupi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

290
Kongsi :
Previous post AYER LIMAU SIAPKAN PELAPIS PEMIMPIN, PEMBANGUNAN TERUS DIPERKASA
Next post PRN MELAKA: KALSOM SEPERTI IBU SAYA, TETAP BERSAMA PERJUANGAN BN – SITI AISYAH