
PRN MELAKA: KEMPEN FIZIKAL DAN DIGITAL, STRATEGI RAIS TAWAN HATI SUNGAI UDANG
SUNGAI UDANG 4 November – Kepelbagaian demografi penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang mendorong calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rais Yasin menggabungkan pendekatan kempen secara bersemuka dan digital bagi mendekati pengundi sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Calon nombor 3 N.11 Sungai Udang itu berkata, DUN itu mempunyai latar belakang masyarakat yang pelbagai, merangkumi kaum Melayu dan Cina, penjawat awam, pekerja sektor minyak dan gas, pesara tentera serta kakitangan penjara.
Menurutnya, kepelbagaian itu memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh bagi memastikan setiap lapisan masyarakat berpeluang menyuarakan pandangan dan mengemukakan persoalan secara langsung.
Justeru, selain turun padang bertemu penduduk dan mengedarkan risalah, beliau turut memanfaatkan platform media sosial menerusi siaran langsung bagi menjawab pertanyaan pengundi.
“Sungai Udang ini memang unik. Ada pesara tentera, tadi saya jumpa juga penghuni rumah daripada staf penjara. Sambil kita ‘live’, saya manfaatkan masa dan ruang yang ada untuk jawab soalan-soalan dikemukakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ziarah kasih secara berjalan kaki bersama jentera di sekitar Taman Keris Emas, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai penerimaan penduduk, Rais berkata, beliau bersyukur apabila gerak kerja kempen BN mendapat sambutan baik tanpa sebarang provokasi atau kejadian tidak diingini.
Rais, turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti yang bekerja keras dan berharap suasana kempen secara sihat itu dapat dikekalkan sehingga hari pengundian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


