
MELAKA SASAR LAHIR LEBIH RAMAI PAKAR TEKNOLOGI TENAGA
KUALA LINGGI 4 November – Penubuhan Pusat Latihan Kemahiran Turbin Gas CGNEI (CGNEI GTSTC) di Melaka bakal melahirkan lebih ramai tenaga pakar tempatan dalam bidang itu, sekali gus memenuhi keperluan industri penjanaan tenaga berteknologi tinggi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif CGN dan EDRA itu bukan sekadar menyediakan kemudahan latihan, sebaliknya menjadi platform membangunkan kepakaran tenaga kerja tempatan dalam bidang operasi penjanaan tenaga.
Katanya, usaha tersebut penting bagi memastikan tenaga kerja negara mempunyai kemahiran khusus yang diperlukan industri, sekali gus meningkatkan peluang kerjaya dan potensi pendapatan mereka.
“Manfaat penubuhan pusat latihan itu juga tidak terhad kepada Melaka, sebaliknya berpotensi diperluaskan kepada tenaga kerja seluruh negara.
“Lebih penting, mereka telah mewujudkan pusat latihan yang akan melatih dan melahirkan tenaga pakar dalam bidang operasi tenaga, terutamanya turbin gas dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Pada Majlis Perasmian Persidangan Penjanaan Kuasa Turbin Gas (CGNEI) 2026 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Pusat Latihan Kemahiran Turbin Gas CGNEI (CGNEI GTSTC), Loji Jana Kuasa Edra Melaka (EMPP), di Telok Gong, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar; Pengerusi CGN Energy International Holdings Co. Limited Zhang Chaoqun serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, pembangunan kepakaran tempatan menerusi latihan khusus itu juga mampu memperkukuh keupayaan negara dalam sektor penjanaan tenaga, selain memastikan pemindahan teknologi dapat dimanfaatkan oleh tenaga kerja tempatan.
“Ini penting untuk melatih tenaga kerja di Malaysia supaya kita dapat melahirkan bukan sahaja pekerja mahir, tetapi akhirnya meningkatkan pendapatan, khususnya di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


