MELAKA RANCANG EKOSISTEM PUSAT DATA AI BERKUASA SEHINGGA 2GW

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LINGGI 4 November – Melaka sedang meneliti pembangunan ekosistem kuasa bersepadu berkapasiti indikatif sehingga dua gigawatt (GW) bagi menyokong perancangan pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) rendah karbon di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, perancangan itu membabitkan kerjasama Perbadanan Melaka (MCORP) dan EDRA Power Holdings Sdn Bhd menerusi cadangan pembangunan ekosistem tenaga berhampiran Loji Janakuasa Edra Melaka.

Katanya, MCORP sedang merancang pembangunan Taman Pusat Data AI Rendah Karbon yang bertujuan mewujudkan ekosistem mampan bagi menyokong keperluan kecerdasan buatan dan pengkomputeran awan (cloud computing).

“Pembangunan ini dilihat berpotensi meletakkan Melaka sebagai destinasi berdaya saing bagi menarik pelaburan digital bernilai tinggi.

“MCORP dan EDRA sedang melihat kebolehlaksanaan pembangunan ekosistem kuasa bersepadu untuk pusat data dengan kapasiti indikatif sehingga dua gigawatt,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Penjanaan Kuasa Turbin Gas (CGNEI) 2026 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Pusat Latihan Kemahiran Turbin Gas CGNEI (CGNEI GTSTC), Loji Jana Kuasa Edra Melaka (EMPP), di Telok Gong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar; Pengerusi CGN Energy International Holdings Co. Limited Zhang Chaoqun serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, perancangan itu turut merangkumi penilaian potensi pembangunan Unit Penyimpanan dan Penggasan Semula Terapung (FSRU) bagi menyokong keperluan bekalan gas serta penjanaan tenaga pada masa hadapan.

“Bagaimanapun, kedua-dua cadangan berkenaan masih tertakluk kepada kajian lanjut, penilaian teknikal, daya maju komersial, keperluan kawal selia serta kelulusan berkaitan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post PELABUR ASING PERLU TINGGALKAN KEPAKARAN BUKAN SEKADAR MODAL – FADILLAH
Next post BERLAYAR DENGAN RAJA EMA, NIKMATI PESONA SUNGAI MELAKA