PRN MELAKA: BN-PN KOTA MELAKA GERAK SEIRING, BANTU CALON MASING-MASING

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

TELOK MAS 4 November – Kerjasama strategik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Kota Melaka mula diterjemahkan menerusi penyelarasan gerak kerja jentera bagi membantu calon rakan masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Calon BN N.23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, persefahaman itu dapat dilihat menerusi penglibatan jentera PN yang hadir ke bilik gerakan BN bagi menyelaras dan membantu gerak kerja kempen sejak hari pertama.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka berkata, kerjasama berkenaan turut melibatkan sokongan jentera PN kepada calon BN di beberapa kawasan termasuk Duyong, Kota Laksamana dan Banda Hilir.

“BN juga akan memberikan sokongan kepada calon rakan strategik PN yang bertanding di DUN Kesidang.

“Alhamdulillah, sejak hari pertama lagi apabila kepimpinan kedua-dua parti bersetuju menjadikan PRN Melaka sebagai medan kerjasama strategik, jentera PN dan BN di Parlimen Kota Melaka terus hadir ke bilik gerakan untuk membantu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Gerakan BN DUN Telok Mas, Bukit Punggor, di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak yang juga calon nombor dua DUN Telok Mas berkata, penyelarasan gerak kerja itu membabitkan jentera kedua-dua parti bagi membantu calon yang bertanding di kawasan masing-masing, selaras dengan persefahaman di peringkat kepimpinan.

“Kita sudah mempunyai persefahaman bersama untuk menggerakkan jentera kedua-dua parti bagi menghadapi pilihan raya ini dan Insya-Allah kita semua akan meraih kemenangan jitu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

658
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KEPIMPINAN PAS IKRAR SOKONGAN PENUH BUAT CALON BN REMBIA