PRN MELAKA: MELVIN MAHU TEBUS PELUANG KEDUA DI KOTA LAKSAMANA

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KOTA LAKSAMANA 4 November – Membawa pendekatan baharu dalam pembangunan infrastruktur, ekonomi dan kebajikan masyarakat menjadi antara misi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N20 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Melvin Chua, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Melvin yang juga calon nombor dua berkata, beliau mahu melihat pembangunan lebih menyeluruh di kawasan itu, termasuk menyediakan infrastruktur lebih mesra pelancong serta memperluas peluang pekerjaan dan perniagaan khususnya kepada golongan muda tanpa mengira kaum.

Katanya, Kota Laksamana mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan memandangkan kawasan itu merangkumi lokasi komersial, destinasi pelancongan bersejarah serta sebahagian kawasan Warisan Dunia UNESCO.

“Saya mahu membangunkan Kota Laksamana sebagai kawasan yang lebih mesra pelancong dari segi infrastruktur, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan khususnya untuk anak muda.

“Usaha ini diharap dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat bukan sahaja di DUN Kota Laksamana tetapi Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, pengalaman menjalankan tugas sebagai ahli majlis di beberapa kawasan sebelum ini turut membolehkannya memahami dengan lebih dekat keperluan penduduk, termasuk di Kota Laksamana.

“Di Kota Laksamana ini saya melihat masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam pembangunan DUN itu selepas hampir 10 tahun diwakili penyandang.

“Sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi, saya percaya mampu menawarkan pendekatan berbeza,” katanya.

Melvin yang pernah bertanding di kerusi sama pada 2018 berkata, beliau berharap pengundi dapat memberikan peluang kepadanya untuk membawa idea, pengalaman dan tenaga baharu bagi memajukan kawasan berkenaan.

“Kepercayaan yang diberikan oleh pucuk kepimpinan akan saya laksanakan sebaiknya dalam usaha mendapatkan kepercayaan pengundi.

“Selain pengalaman, tunjuk ajar daripada Pengerusi MCA Melaka, Datuk Wira Lim Ban Hong juga akan saya jadikan panduan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

675
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN-PN KOTA MELAKA GERAK SEIRING, BANTU CALON MASING-MASING