
PRN MELAKA: ANAK TEDONG MAHU BERBAKTI DI TANAH SENDIRI
SERKAM 4 November – Berbekalkan pengalaman mendampingi masyarakat sebagai bekas pegawai khas Ahli Parlimen Jasin, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.26 Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Datuk Azman Abdullah atau lebih dikenali sebagai Man Dollah, mahu meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Azman berkata, Serkam bukan kawasan asing baginya memandangkan beliau merupakan anak jati Kampung Tedong yang terletak dalam kawasan DUN itu.
Menurut yang juga calon nombor 1 DUN Serkam, pengalaman berkhidmat sebagai pegawai khas sebelum ini memberinya peluang melaksanakan pelbagai tugas mewakili wakil rakyat, selain mendekati masyarakat dan memahami permasalahan yang dihadapi penduduk.
“Bagi saya, membela rakyat lebih penting daripada bercakap banyak. Kalau cakap banyak tetapi kerja tidak berjalan, tidak ada gunanya.
“Saya sejak dahulu turun padang untuk membantu dan melihat sendiri apa masalah rakyat serta sentiasa berdamping dengan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas keutamaan sekiranya diberi mandat, beliau berkata, isu kemudahan asas termasuk keadaan jalan, sistem perparitan dan lampu jalan antara perkara yang sering dibangkitkan penduduk sejak kebelakangan ini.
Katanya, beliau turut berhasrat meneruskan usaha wakil rakyat terdahulu yang masih belum diselesaikan, termasuk memperjuangkan permasalahan penduduk di Pantai Siring.
“Insya-Allah saya tetap akan meneruskan kerja-kerja wakil rakyat terdahulu yang belum terlaksana, terutama dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya juga berharap penduduk DUN Serkam dapat memberikan kepercayaan kepada saya untuk membawa tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


