MELAKA BINA, BAIK PULIH LEBIH 270 RUMAH RAKYAT SEJAK 2023

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SUNGAI UDANG 4 November – Lebih 270 rumah berjaya dibina baharu dan dibaik pulih di seluruh Melaka sejak 2023 hingga 2026 menerusi inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu golongan memerlukan memiliki kediaman yang lebih selamat serta selesa.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, usaha itu mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh dalam memastikan kebajikan rakyat, khususnya berkaitan keperluan perumahan, sentiasa diberikan perhatian.

“Menerusi Program Melaka Rumahku, lebih 120 rumah baharu telah dibina, manakala 150 rumah lagi dibaik pulih. Kos bagi inisiatif baik pulih sahaja secara keseluruhan melibatkan peruntukan berjumlah RM9 juta,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan ziarah kasih sekitar Taman Keris Emas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais yang juga calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N11 Sungai Udang berkata, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khusus bagi membantu membaik pulih kediaman yang mengalami kerosakan, termasuk akibat serangan anai-anai.

“Sekiranya kerosakan melibatkan bahagian dinding kos baik pulih sehingga RM15,000 disediakan, namun kalau kerosakan lebih serius dan pembiayaannya besar kita terpaksa bawa ke mesyuarat untuk dipertimbangkan, termasuk kemungkinan pembinaan rumah baharu,” katanya.

Calon nombor tiga DUN Sungai Udang ini berkata, bagi kerosakan melibatkan bahagian bumbung pula, pihak Lembaga Perumahan Melaka (LPM) akan menggantikan keseluruhan bumbung kediaman berkenaan.

Terdahulu pada sesi ziarah itu, beliau turut memanfaatkan platform siaran langsung di media sosial bagi menjawab pertanyaan penduduk, termasuk berkaitan bantuan perumahan yang disediakan Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

256
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KEMPEN FIZIKAL DAN DIGITAL, STRATEGI RAIS TAWAN HATI SUNGAI UDANG
Next post PERMINTAAN ELEKTRIK SEMENANJUNG DIJANGKA MELONJAK 57 PERATUS MENJELANG 2035