
PRN MELAKA: DARI DUNIA KESIHATAN KE DUNIA RAKYAT, LANGKAH BAHARU RIDZUAN DI BUKIT KATIL
AYER MOLEK 4 November – Selepas hampir dua dekad menabur bakti sebagai penjawat awam di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, Ridzuan Sarif kini memikul tanggungjawab baharu apabila diberi kepercayaan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N17 Bukit Katil.
Pengalaman luas dalam sektor perkhidmatan awam, khususnya bidang kesihatan, menjadi bekalan buat beliau untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat dengan memberikan tumpuan kepada keperluan penduduk di kawasan Bukit Katil.
Ridzuan yang juga calon nombor 2 DUN Bukit Katil berkata, sepanjang hampir 20 tahun berkhidmat, beliau memperoleh pelbagai pengalaman dan ilmu yang membolehkannya memahami keperluan masyarakat serta membantu rakyat.
Menurutnya, jawatan terakhir disandang sebelum meninggalkan perkhidmatan awam ialah Penolong Pengarah Kanan merangkap Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran.
“Saya merupakan penjawat awam sebelum ini dan telah berkhidmat hampir 20 tahun. Saya kira ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang bertugas sebagai penjawat awam, khususnya di Jabatan Kesihatan, merupakan pengalaman terbaik dalam membantu masyarakat setempat di Negeri Melaka secara umum.
“Pada kali ini, alhamdulillah saya diberikan amanah dan kepercayaan oleh PN sebagai calon di sini dan pastinya khidmat bakti yang telah dicurahkan selama ini untuk rakyat negeri Melaka akan saya fokuskan khusus kepada pengundi di DUN Bukit Katil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan DUN Ayer Molek, di Taman Tambak Paya Harmoni, yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ridzuan berkata, beliau bertekad meneruskan komitmen berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengenal penat lelah demi membantu penduduk di kawasan berkenaan.
“Saya akan teruskan khidmat ini tanpa mengenal erti penat lelah dan sebagainya. Saya infakkan diri saya untuk membantu seluruh pengundi dan penduduk Bukit Katil, insya-Allah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


