LOJI EDRA 2,242MW ASET STRATEGIK JAMIN BEKALAN ELEKTRIK NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KUALA LINGGI 4 November -Loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) EDRA di Melaka dengan kapasiti terpasang 2,242 megawatt (MW) menjadi antara aset penting dalam menyokong keperluan bekalan elektrik negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sumbangan loji berkenaan bukan hanya terletak pada kapasiti penjanaannya, malah turut bergantung kepada keupayaan operasi yang selamat, prestasi konsisten serta kepakaran tenaga kerja yang mengendalikan fasiliti itu.

Katanya, pelaburan jangka panjang dalam sektor tenaga oleh rakan antarabangsa seperti China General Nuclear Power Corporation (CGN) dan EDRA membawa manfaat menerusi kemasukan modal, teknologi serta pengalaman operasi.

“Pelaburan EDRA memperlihatkan kepentingan sumbangan ini. Loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) di Melaka, dengan kapasiti terpasang 2,242 megawatt, merupakan aset penting yang menyokong bekalan elektrik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Pada Majlis Perasmian Persidangan Penjanaan Kuasa Turbin Gas (CGNEI) 2026 di Pusat Latihan Kemahiran Turbin Gas CGNEI (CGNEI GTSTC), Loji Jana Kuasa Edra Melaka (EMPP), di Telok Gong, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar; Pengerusi CGN Energy International Holdings Co. Limited Zhang Chaoqun serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, hubungan kerjasama jangka panjang antara pelabur antarabangsa dan pemain industri tempatan perlu diperkukuh berasaskan kepercayaan, saling menghormati keupayaan tempatan serta komitmen mewujudkan nilai berterusan.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan rakan industri memperluas penyertaan syarikat tempatan menerusi pembangunan pembekal, peluang kejuruteraan dan pemindahan teknologi yang lebih bermakna.

Dalam pada itu, beliau berkata teknologi turbin gas kekal memainkan peranan penting dalam landskap penjanaan elektrik negara, khususnya daripada segi menyediakan bekalan yang stabil dan fleksibiliti operasi bagi menyokong kestabilan grid.

Jelasnya, penjanaan elektrik berasaskan gas yang fleksibel juga mampu melengkapi peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar yang mempunyai variasi pengeluaran.

“Usaha memastikan bekalan elektrik yang konsisten memerlukan lebih daripada peralatan yang boleh diharap, sebaliknya turut bergantung kepada jaminan bekalan bahan api, penyelenggaraan berkesan, rantaian bekalan berdaya tahan dan tenaga kerja mahir.

“Sesuatu pelaburan yang berjaya seharusnya meninggalkan sumbangan berkekalan terhadap keupayaan negara tuan rumah. Apabila keupayaan ini berkembang, begitu juga kemampuan kita untuk menyumbang kepada keselamatan tenaga serantau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

333
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KALSOM SEPERTI IBU SAYA, TETAP BERSAMA PERJUANGAN BN – SITI AISYAH
Next post PRN MELAKA: DARI DUNIA KESIHATAN KE DUNIA RAKYAT, LANGKAH BAHARU RIDZUAN DI BUKIT KATIL