
PRN MELAKA: ‘AYER MOLEK SATU HATI’ JADI SLOGAN RIDHWAN
AYER MOLEK 4 November – Kesepakatan dan semangat bekerja sebagai satu pasukan menjadi pendekatan jentera Barisan Nasional (BN) di DUN Ayer Molek dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Semangat kesepakatan itu diterjemahkan menerusi slogan ‘Ayer Molek Satu Hati’ yang menekankan penyatuan tanpa perpecahan dalaman.
Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, kerjasama erat semua pihak termasuk penyandang terdahulu Datuk Rahmad Mariman, membuktikan jentera parti bergerak atas matlamat bersama dan bukannya kepentingan individu.
Beliau yang juga calon nombor 1 DUN Ayer Molek memaklumkan, tiada pembahagian kumpulan atau pasukan tertentu dalam jentera BN di kawasan itu, sebaliknya semua pihak telah mencapai kesepakatan untuk menggembleng tenaga sepanjang tempoh berkempen.
“Alhamdulillah, penyandang sebelum ini memberikan kerjasama yang amat baik. Apa juga kemudahan yang disediakan untuk jentera sebelum pengumuman penamaan calon semuanya diberikan kerjasama untuk digunakan.
“Kali ini Ayer Molek datang dengan satu tagline, ‘Ayer Molek Satu Hati’. Jadi, setiap kita tidak ada beza-beza, tidak ada Team A atau Team B, semua sepakat dari peringkat awal untuk kita bergembleng bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian lawatan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan DUN Ayer Molek, di Taman Tambak Paya Harmoni, yang turut dihadiri calon Perikatan Nasional (PN) DUN Bukit Katil, Ridzuan Sarif, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, perjuangan parti perlu menjadi keutamaan semua anggota jentera berbanding kepentingan atau perbezaan individu.
“Apa yang kita perjuangkan pada hari ini bukanlah individu, tetapi parti yang membawa perjuangan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Beliau berkata, hubungan baik dengan penyandang terdahulu juga terus dikekalkan menerusi komunikasi berterusan bagi memastikan gerak kerja kempen berjalan lancar dan semua pihak bergerak dalam satu pasukan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


