Sorting by

×

PPBAPM MELAKA WIRA KOMUNITI TAK DIDENDANG

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KOTA LAKSAMANA 19 April – Persatuan Pegawai-Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (PPBAPM) Melaka terus komited menjadi antara badan yang memainkan peranan kepada masyarakat, khususnya rakyat di negeri ini.

Usaha itu digerakkan menerusi pelbagai program berteraskan misi kemanusiaan, selain sokongan respon kecemasan dan latihan untuk mempersiapkan masyarakat dengan kemahiran praktikal.

Presiden PPBAPM Melaka Kolonel Bersekutu (PA) Mike Thein Kim Siang berkata, sejak ditubuhkan pada 2023, persatuan itu aktif menganjurkan program latihan seperti operasi menyelamat di air, komunikasi krisis berkesan, penyelenggaraan enjin dan navigasi bot serta kemahiran asas menyelamat nyawa.

Pada masa sama, ujarnya, PPBAPM yang terdiri daripada golongan profesional seperti usahawan, pengamal media dan wakil komuniti juga turut menjadikan agenda perpaduan sebagai keutamaan.

“Selain daripada peranan operasi dan kemanusiaan, persatuan ini komited dalam memupuk keharmonian dalam kalangan rakyat, berpandukan prinsip-prinsip murni.

“Seiring aspirasi ini, PPBAPM Melaka menyatakan kesediaan untuk menganjurkan lebih banyak program inklusif dan inisiatif berteraskan komuniti yang menghimpunkan masyarakat berbilang kaum dengan tujuan memperkukuh kesefahaman, kepercayaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Persatuan ini juga berhasrat menjadi perintis dalam mempromosikan keharmonian nasional serta memelihara kehidupan yang aman dan sejahtera di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Malam Apresiasi Media 2026 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai serta lain-lain kenamaan.

Menurutnya, majlis apresiasi media itu merupakan julung kali diadakan PPBAPM Melaka bertujuan mengiktiraf peranan media sebagai rakan strategik dalam pembinaan negara.

“Lebih daripada sekadar majlis simbolik, acara ini merupakan satu pengiktirafan rasmi terhadap peranan penting media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, memperkukuh kesiapsiagaan komuniti serta menyokong inisiatif persatuan melalui liputan yang berwibawa dan berimpak tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post FESTIVAL SUNGAI MELAKA 2026 BERLANGSUNG 4 BULAN, JELAJAH 3 DAERAH
Next post HOSPITAL ALOR GAJAH RAIH PENSIJILAN MSQH PERTAMA