
DILEMA BANJIR LALUAN TEBONG-TAMPIN BERAKHIR
ASAHAN 20 April – Jalan menghubungkan Tebong-Tampin kini siap dinaik taraf menjadi penyelesaian kepada masalah banjir yang kerap meneggelamkan laluan berkenaan berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Simpang Tebong Abdul Raof Yusof berkata, banjir bukan hanya membantutkan urusan harian sebaliknya turut mengancam keselamatan pengguna khususnya pemandu kenderaan ringan.
Katanya, dalam kejadian sebelum ini seorang lelaki nyaris maut selepas kereta dipandu dihanyutkan arus banjir, mangsa juga mengalami kerugian selepas kenderaan miliknya diklasifikasikan sebagai rosak secara keseluruhan.
“Mangsa dikatakan berasal dari Batang Melaka ketika itu tidak sedar jalan berkenaan sudah ditenggelami banjir berpunca dari limpahan air dari dua anak sungai berhampiran, mujur dia sempat menyelamatkan diri.
“Projek naik taraf dimulakan pada awal tahun ini sudah siap sepenuhnya dan amat melegakan saya serta ribuan lagi pengguna yang lain. Naik taraf melibatkan pembinaan jambatan dan laluan air baharu.
“Aliran anak sungai juga dialihkan agar dapat mengalir dengan lebih lancar, alhamdulillah sudah ada penyelesaian, sebelum ini jika hujan lebat berlarutan lebih tiga jam pasti akan berlaku banjir,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Abdul Raof berkata, kerja naik taraf bertujuan meningkatkan lagi aspek keselamatan pengguna jalan raya amat perlu berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang melalui laluan berkenaan.
Menurutnya, laluan berkenaan menghubungkan Simpang Tebong dengan Machap Jaya dan Tampin di Alor Gajah menyebabkannya menjadi sebakin sibuk.
“Jumlah taman perumahan meningkat, aktiviti ekonomi, pertanian juga semakin rancak menyebabkan pertambahan jumlah kenderaan, berikutan itu inisiatif dilaksanakan ini amat membantu dalam mengelakkan berlakunya sebagai kejadian atau insiden tidak diingini.
“Mungkin selepas ini walaupun dalam musim hujan laluan berkenaan tidak akan terkesan atau ditenggelami banjir seperti tahun sebelumnya. Aktiviti harian orang ramai lancar, berbeza dengan sebelum ini jalan perlu ditutup kepada semua jenis kenderaan kecil akibat banjir,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


