Sorting by

×

PIDATO RUKUN NEGARA SASAR LEBIH RAMAI PENYERTAAN ORANG ASLI, BUKAN MELAYU

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI NEGERI 20 April – Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026 yang bermula semalam hingga 31 Julai depan menyasarkan penyertaan lebih ramai bukan Melayu, khususnya masyarakat Orang Asli.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, sasaran itu ditetapkan bagi menambah lagi kemeriahan pertandingan yang menjadi acara tahunan dalam memperkukuh nilai perpaduan antara rakyat.

Jelas beliau, sebaik julung kali diperkenalkan tahun lalu, kategori bukan Melayu menerima 291 penyertaan, justeru diharap jumlah itu meningkat pada edisi kali ini.

“Kita akan mempergiatkan promosi untuk menarik penyertaan lebih ramai bukan Melayu dan pada masa sama akan berkolaborasi dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam menarik masyarakat Orang Asli menyertai pertandingan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Pelancaran Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) Prof. Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah; Pengarah Bahagian Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Fairojibanu Zainal Abidin; Pengarah Perpaduan Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff serta lain-lain kenamaan.

Menurut Hee Sem, pada edisi tahun lalu, pertandingan itu berjaya menarik penyertaan 9,321 peserta dari seluruh negara.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, kategori sekolah rendah menerima penyertaan tertinggi iaitu sebanyak 5,673 orang, diikuti kategori sekolah menengah 1,916 peserta, kategori awam 1,153 orang dan 298 peserta institusi pengajian tinggi.

“Untuk edisi tahun ini, tempoh pendaftaran dan penerimaan video berlangsung 17 April hingga 31 Julai, seterusnya proses penjurian bermula 1 hingga 31 Ogos dan pentas akhir dijadual berlangsung pada 15 September di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

485
Kongsi :
Previous post MELAKA HALAL HUB 2.0 TAWAR KONSEP PERNIAGAAN MODEN
Next post DILEMA BANJIR LALUAN TEBONG-TAMPIN BERAKHIR