Sorting by

×

MELAKA HALAL HUB 2.0 TAWAR KONSEP PERNIAGAAN MODEN

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

SERKAM 20 April – Melaka Halal Hub 2.0 direka bagi memenuhi keperluan perniagaan moden dengan menawarkan pelbagai komponen industri bersepadu yang lebih fleksibel dan praktikal kepada pelabur.

Pengarah Urusan PDG Development Sdn Bhd Datuk Seri Gwee Yew Kiat berkata, antara produk ditawarkan termasuk 64 kilang teres dengan pejabat dua tingkat serta lot kilang banglo industri berkeluasan hingga 0.89 hektar (2.2 ekar) dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM110 juta.

Menurutnya, pembangunan berkenaan turut memperkenalkan konsep empat dalam satu menggabungkan fungsi runcit, gudang, pejabat dan bilik pameran dalam satu ruang perniagaan yang lebih efisien.

“Konsep ini amat sesuai untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pembuatan, industri makanan dan minuman serta perniagaan berorientasikan eksport yang ingin berkembang dalam ekosistem halal yang tersusun dan strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas Majlis Pecah Tanah Melaka Halal Hub 2.0 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub 2.0, di sini, 17 April lalu.

6271766693554098611
PENGARAH Urusan PDG Development Sdn Bhd, Datuk Seri Gwee Yew Kiat. Foto Iqmal Haqim Rosman

Tambah beliau, Melaka Halal Hub merupakan pembangunan industri halal strategik di negeri ini dengan keluasan keseluruhan 73.25 hektar (181 ekar).

“Melalui fasa baharu iaitu Melaka Halal Hub 2.0 ia akan dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Perbadanan Melaka (MCORP) dan PDG Property Group.

“Pembangunan ini turut disokong Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Melaka bagi memastikan kawasan berkenaan menjadi destinasi pelaburan yang berdaya saing di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Lebih membanggakan, Melaka Halal Hub telah menerima Sijil HALMAS daripada Halal Development Corporation (HDC) sekali gus menjadikannya satu-satunya hab halal rasmi di negeri Melaka.

“Pengiktirafan itu membuka lebih banyak peluang kepada syarikat untuk menikmati pelbagai insentif cukai serta kemudahan dalam ekosistem industri halal,” katanya.

Katanya, setakat ini Melaka Halal Hub telah menarik pelabur seperti Kewpie Malaysia, Huat Lai, Dking, Wakaba Food dan beberapa jenama lain.

“Kewpie Malaysia juga telah bersetuju untuk memperluaskan operasi di Melaka Halal Hub 2.0 dengan anggaran pelaburan sebanyak RM80 juta. Ketika ini, operasi Kewpie telah menyediakan kira-kira 270 peluang pekerjaan yang diisi rakyat tempatan, khususnya penduduk Serkam.

“Terdapat juga penyertaan sebuah lagi syarikat jenama kesihatan dan produk organik diasaskan di Melaka iaitu Melilea International yang kini berkembang ke peringkat syarikat dan akan menggunakan Halal Hub 2.0 bagi pengeluaran produk halal mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

422
Kongsi :
Previous post MENARA TAMING SARI BAKAL PERKENAL MASKOT BAHARU
Next post PIDATO RUKUN NEGARA SASAR LEBIH RAMAI PENYERTAAN ORANG ASLI, BUKAN MELAYU