Sorting by

×

WRUR BANDA HILIR: MAIM PASTIKAN ASNAF LAYAK TIDAK TERCICIR

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDA HILIR 5 Jun – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menegaskan bantuan disalurkan tidak terhad kepada rakyat yang lahir di Melaka sahaja sebaliknya merangkumi umat Islam menetap atau bermastautin di negeri ini bergantung kepada syarat ditetapkan.

Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, bantuan diberikan adalah berdasarkan keperluan dan kelayakan individu tanpa mengira latar belakang negeri asal penerima.

Katanya, bantuan boleh disalurkan kepada mereka yang bermastautin, berhijrah ke Melaka atau berada di negeri ini dalam tempoh tertentu.

“Kebajikan semua umat Islam diberikan perhatian tanpa mengira asal usul negeri, apa yang paling penting adalah keperluan penerima serta kelayakan untuk menerima bantuan.

“Contoh menerusi Program Ziarah Kasih Asnaf sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir rata-rata penerima disantuni bukan berasal dari Melaka, namun sebagai umat Islam mereka layak menerima bantuan daripada MAIM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Ziarah Kasih Asnaf sempena WRUR DUN Banda Hilir di sekitar Banda Hilir, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen dan Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM Nasir Wahab.

Mengulas lanjut, Mohd Hairulamin berkata, pendekatan itu selaras dengan matlamat institusi zakat yang mana pada program itu turut disertai Skuad Agihan Zakat (SAZ) di bawah MAIM yang membantu golongan memerlukan tanpa mengira latar.

“Kita mahu memastikan tiada golongan yang layak menerima bantuan tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

383
Kongsi :
Previous post BENGKEL LEPAAN DINDING LAHIRKAN GENERASI PEKA WARISAN
Next post SEMANGAT WRUR PERKUKUH PERPADUAN KOMUNITI