
BENGKEL LEPAAN DINDING LAHIRKAN GENERASI PEKA WARISAN
BANDA HILIR 5 Jun – Bengkel Teknik Lepaan Dinding dan Kajian Cat Konservasi (Bangunan Warisan) menjadi medan perkogsian kepakaran berkaitan kaedah memelihara khazanah sejarah negara, khususnya melibatkan Negeri Melaka.
Bengkel berlangsung di Perkarangan Annex Bastion House, baru-baru ini, melibatkan 50 peserta yang terdiri daripada profesional industri, kontraktor, pensyarah, arkitek dan pelajar.
Sepanjang bengkel berlangsung peserta berpeluang mendalami teknik konservasi tradisional menerusi sesi teori dan latihan praktikal dikendalikan oleh pakar dalam bidang berkenaan.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah berkata, penganjuran bengkel itu bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu, malah platform penting dalam memastikan bangunan bersejarah di negeri ini terus terpelihara untuk tatapan generasi akan datang.
Menurutnya, bangunan warisan bukan sekadar tinggalan sejarah, sebaliknya menjadi lambang identiti, budaya dan jati diri sesebuah bangsa yang perlu dipertahankan.
“Dalam era pembangunan moden semakin pesat, ilmu berkaitan teknik konservasi tradisional seperti lepaan dinding menggunakan bahan tradisional serta kajian cat konservasi amat penting untuk dipelajari dan dipraktikkan.
“Kesilapan dalam penggunaan bahan atau teknik pemulihan boleh menyebabkan kerosakan kepada struktur asal bangunan warisan yang mempunyai nilai sejarah tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan bengkel berkenaan yang dianjurkan Unit Pengurusan Warisan, Bahagian Pembangunan PERZIM.
Hadir sama Konservator Berdaftar dengan Jabatan Warisan Negara yang juga tenaga pengajar bengkel Shaari Md Saod.

Erne berkata, bengkel itu dilihat sebagai platform terbaik untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai kaedah konservasi yang betul dan beretika.
“Ia termasuk penyediaan mortar tradisional, teknik lepaan, analisis lapisan cat asal serta pemilihan bahan konservasi yang sesuai.
“saya percaya melalui bengkel ini para peserta akan memperoleh pengetahuan baharu dan pengalaman berharga yang boleh dimanfaatkan dalam usaha memelihara bangunan warisan negara.
“Harapan saya agar ilmu yang diperoleh sepanjang program ini dapat melahirkan lebih ramai individu yang berupaya menyumbang kepada bidang konservasi warisan pada masa hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


