Sorting by

×

WRUR BANDA HILIR: LIF BAHARU HADIAH BERMAKNA BUAT PENDUDUK PANGSAPURI LAKSAMANA 1

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDA HILIR 5 Jun – Selepas sekian lama bergantung kepada lif yang sering rosak dan semakin uzur, penduduk Pangsapuri Laksamana 1 kini boleh menarik nafas lega apabila kemudahan itu telah dinaik taraf demi keselesaan serta keselamatan penghuni.

Bagi penduduk, Maslini Rosli, 42, lif baharu lebih moden dan mesra pengguna itu merupakan kemudahan yang amat dinantikan kerana memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat terutama golongan orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas.

“Alhamdulillah, memang bagus untuk penduduk di sini apabila lif dinaik taraf. Ini kemudahan yang memang diperlukan oleh kami semua.

“Lif sekarang lebih cantik, bersih dan mesra pengguna bagi OKU, kanak-kanak serta warga emas kerana ada kemudahan yang lebih sesuai untuk mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyempurnaan Projek Naik Taraf Fasiliti Pangsapuri sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir Kota Melaka: Kampung Kita di Pangsapuri itu di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Pun Saw Chee, 58, bersyukur apabila masalah lif yang sering rosak dan dimasuki air ketika hujan lebat akhirnya dapat diselesaikan.

Katanya, sebagai penghuni yang telah menetap di pangsapuri itu sejak tahun 1996, dia menyaksikan sendiri keadaan lif semakin uzur dan tidak lagi mampu menampung keperluan penduduk dengan baik.

“Saya tinggal di sini sudah lebih 30 tahun. Sebelum ini apabila hujan lebat, air boleh masuk ke dalam lif dan menyebabkan pelbagai masalah.

“Lif juga selalu rosak kerana sudah terlalu lama digunakan. Jadi apabila lif ini dinaik taraf, kami semua rasa lebih lega,” katanya.

Saw Chee turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

510
Kongsi :
Previous post MPHTJ TERUS CEMERLANG, CAPAI MARKAH 98.42 PERATUS BAGI PENILAIAN MURNINETS
Next post MELAKA TELITI MODEL KOMPLEKS UPACARA TERAKHIR HINDU TELUK JAWA