Sorting by

×

MATTA FAIR 2026 PERHEBAT TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDA HILIR 18 April – Penganjuran MATTA Fair Melaka 2026 pada 17 hingga 19 April disifatkan sebagai sebuah acara yang memainkan peranan signifikan dalam menyokong sektor pelancongan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, malah pameran menawarkan pakej pelancongan menarik pada harga kompetitif itu juga bertindak sebagai pemangkin utama dalam memperhebat Tahun Melawat Melaka 2.0, sekali gus menyokong momentum Visit Malaysia 2026.

Jelas beliau, dengan 40 reruai pameran yang menawarkan lebih 150 pakej pelancongan dalam dan luar negara, MATTA Fair Melaka 2026 memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan tawaran terbaik secara terus di bawah satu bumbung.

“Pada masa sama, pameran ini juga memainkan peranan penting sebagai pemacu pasaran pelancongan Wilayah Selatan, meliputi Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

“Walaupun kali ini tampil dengan
skala yang bersederhana, namun kepelbagaian yang ditawarkan kekal komprehensif
daripada pakej domestik, antarabangsa,
umrah, hinggalah kepada tarikan taman tema.

“Saya percaya, inilah kekuatan sebenar MATTA Fair. Pendekatan penawaran terus kepada pengguna pastinya memberi kelebihan besar dalam merangsang pembelian secara lebih tersasar.

“Di sinilah keputusan dibuat, di sinilah transaksi berlaku. Sebab itu sasaran jualan kita kali ini berjumlah RM10 juta ringgit bukan sekadar angka, ia adalah refleksi keyakinan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian MATTA Fair Melaka 2026 di Mahkota Parade, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Hadir sama, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Mohd Roslan Abdullah; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka, Goh Hock Gin serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, Melaka akan tetap teguh dan komited memperkukuh sektor pelancongan sebagai pemacu utama ekonomi negeri melalui pembangunan produk baharu, penambahbaikan infrastruktur termasuklah pengukuhan kerjasama strategik bersama pemain industri.

Jelas beliau, berpaksikan prinsip Melaka Sayang Rakyat, setiap kejayaan mesti dirasai oleh semua daripada pemain industri besar hinggalah kepada usahawan kecil tempatan di luar sana.

“Hakikatnya, setiap pelancong yang datang ke Melaka bukan sekadar angka, tetapi membawa rezeki kepada peniaga kecil, pengusaha tempatan dan seluruh rantaian ekonomi rakyat. Inilah yang kita maksudkan dengan Melaka Sayang Rakyat kemakmuran ekonomi yang dikongsi bersama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

309
Kongsi :
Previous post KOMUNITI PANTAI PERINGGIT JADI CONTOH SEMANGAT KEMASYARAKATAN
Next post RAYA ‘STYLE JAWA’ WARNAI RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DUN AYER MOLEK