Sorting by

×

CERAHKAN MASA DEPAN ANAK-ANAK PPKI DALAM BIDANG PASTRI

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 22 April – Kerajaan Negeri menyeru lebih banyak syarikat atau pengusaha pastri di negeri ini untuk membuka pintu bagi melatih anak-anak istimewa mendapatkan kemahiran dalam bidang itu.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, ilmu dan pembelajaran berkaitan pembuatan kek dan pastri dilihat menjadi antara cabang kemahiran yang dapat membantu dan menggilap potensi anak Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berkata, menerusi ilmu dan kemahiran tersebut, ia secara tidak langsung dapat membantu anak-anak ini mempunyai kerjaya yang lebih baik, selain dapat berdikari.

“Kita risau tentang kemenjadian mereka selepas alam persekolahan, ke mana hala tuju mereka. Jadi penting untuk kita menyediakan ruang dan peluang agar mereka boleh terus praktikkan kemahiran yang dipelajari,” Katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Rumah Terbuka dan Perasmian Maniss Pastry, di sini, yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata, pelajar PPKI mempunyai potensi besar sekiranya diberi pendedahan awal dalam bidang kemahiran seperti kek dan pastri, sebagai contoh pelajar dari SMK Ayer Keroh yang berjaya menghasilkan produk berkualiti sepanjang tempoh pembelajaran mereka.

“Lebih banyak institusi perlu tampil memainkan peranan dalam menyediakan latihan serta membuka peluang pekerjaan kepada golongan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy turut berkongsi kisah anak istimewa kelahiran Duyong, Chew Sheng Yan yang memperoleh ijazah kelas pertama dari Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus membuktikan bahawa individu kelainan upaya mampu mencapai kecemerlangan dengan sokongan dan peluang yang sewajarnya.

“Walaupun bukan dari keluarga yang senang, dengan sistem sokongan yang baik serta keazaman tinggi, mereka boleh menjadi contoh kepada masyarakat”

“Saya juga akan membawa cadangan kepada kepimpinan kerajaan bagi memperluaskan peluang pekerjaan kepada golongan kelainan upaya, termasuk di peringkat profesional, bukan hanya tertumpu kepada separa mahir dan buruh am,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1053
Kongsi :
Previous post BATANG MELAKA ADA BOMBA SUKARELA
Next post HAS2026: DUA MOTOSIKAL MENANTI PENGUNJUNG BERTUAH