
BATANG MELAKA ADA BOMBA SUKARELA
ASAHAN 22 April – Pasukan Bomba Sukarela Batang Melaka bakal kembali menabur bakti buat penduduk Dewan Udangan Negeri (DUN) Asahan, sekali gus menjadi antara pasukan barisan hadapan paling awal di lokasi kecemasan atau bencana selepas ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batang Melaka, Mustapar Mansur berkata, buat ketika ini pasukan berkenaan sedang dalam fasa penyusunan semula organisasi bagi memantapkan dan memperkasakan lagi perkhidmatannya.
Mustapar berkata, antara langkah pemerkasaan dilakukan adalah dengan perolehan jentera dan peralatan melawan kebakaran serta pejabat baharu di Balai Raya Kampung Tengah Batang Melaka.
“Berdasarkan maklumat diterima, pejabat baharu Pasukan Bomba Sukarela Batang Melaka akan dirasmikan tidak lama lagi, kemudian perkhidmatan ini diaktifkan semula dengan sukarelawan bertugas mengikut syif.
“Kewujudan pasukan seumpama ini amat penting berikutan pertambahan penduduk dan peningkatan jumlah kediaman serta bangunan komersial sekitar Batang Melaka sedang berlaku ketika ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya, kes kecemasan sekitar DUN Asahan banyak dibantu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemencheh, Negeri Sembilan, sementara itu perkhidmatan kebombaan paling hampir dalam Negeri Melaka adalah dari BBP Jasin Bestari.
“Jarak antara Gemencheh ke Batang Melaka sekitar enam ke tujuh kilometer (km) manakala jika bantuan dari Jasin Bestari pula 30 km. Dalam kes kecemasan seperti kebakaran pada kebiasaan jentera dari Gemencheh yang akan tiba lebih awal.
“Selepas ini kita boleh mengharapkan Bomba Sukarela Batang Melaka sebagai pasukan awal tiba di lokasi kecemasan sebelum bantuan jentera dari BBP lain tiba,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bomba Sukarela Batang Melaka Dr. Asfalaila Ajis berkata, pasukan itu bukan sahaja terlibat dalam kes kecemasan, bahkan aktif menganjurkan pelbagai program bersama komuniti seperti gotong-royong dan kempen keselamatan.
Melangkah ke hadapan, beliau memaklumkan, Bomba Sukarela Batang Melaka sedang dalam persediaan ke arah e digital bagi melicinkan lagi pentadbiran dan pengurusan pasukan itu yang memiliki 30 keangotaan.
“Dengan e digital ini, segala penyampaian maklumat, ahli terlibat, jadual bertugas dan laporan akan dimuat naik ke dalam sistem. Secara tidak langsung ia akan memudahkan lagi akses maklumat kepada pasukan,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


