Sorting by

×

HAS2026: ANUGERAH KOMUNITI PRIHATIN AIR IKTIRAF KOMITMEN MASYARAKAT

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 22 April – Anugerah Komuniti Prihatin Air diperkenalkan oleh Kerajaan Melaka bagi mengiktiraf peranan masyarakat setempat dalam memelihara dan memperkukuh kelestarian sumber air di negeri ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, anugerah adalah bersempena Sambutan Hari Air Sedunia 2026 (HAS2026) Peringkat Kebangsaan dijadualkan berlangsung di Dataran Tanjung Bidara pada 24 dan 25 April ini.

Menurut Rais, inisiatif serampang dua mata itu bertujuan menggalakkan dan mendidik rakyat Melaka untuk menjadi pengguna yang bijak selain cakna terhadap isu kelestarian sumber air.

“Kita ingin mendidik bukan sahaja wanita, tetapi seluruh rakyat Melaka supaya cakna tentang isu air dan menjadi pengguna yang bijak. Air ini mesti dilestarikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual secara langsung di BernamaTV sempena HAS2026 Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Air Milik Semua’, hari ini.

Rais berkata, pendekatan inklusif dilaksanakan turut memberi tumpuan kepada penglibatan golongan wanita dan komuniti setempat melalui pelbagai program serta reruai disediakan sepanjang penganjuran HAS2026.

“Hampir 400,000 pengguna air di Melaka, semua lapisan masyarakat termasuk wanita dan usahawan perlu diberi pendedahan tentang kepentingan pengurusan air secara lestari.

“Pendekatan inklusif ini, khususnya melibatkan wanita dan komuniti setempat akan memberi impak lebih luas dalam usaha kita memelihara sumber air,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

296
Kongsi :
Previous post NENEK AMNAH CERIA TERIMA ROMBONGAN MPAG
Next post BATANG MELAKA ADA BOMBA SUKARELA