Sorting by

×

NENEK AMNAH CERIA TERIMA ROMBONGAN MPAG

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MACHAP JAYA 22 April – Amnah Md Sab, 89, tersenyum lebar apabila sejak awal pagi perkarangan kediamannya di Kampung Felda Bukit Bulat, di sini, hari ini, dipenuhi ahli ‘rombongan’ Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Kehadiran warga MPAG adalah bagi Program Masyarakat Di Hati MPAG 2026 bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.

Menantunya, Azlinda Mohd isa, 46, berkata penganjuran program itu memecah kesunyian di kediaman mereka dan secara tidak langsung menceriakan Amnah yang kini uzur dan terpaksa berkerusi roda untuk bergerak akibat masalah lutut.

Dia berterima kasih kepada MPAG kerana memilih kediaman milik ibu mentuanya itu bagi penggantian pendawaian elektrik asas dan kerja-kerja pembersihan.

“Usia rumah ini sudah hampir 20 tahun, alhamdulillah dan terima kasih kepada MPAG kerana mmebantu menggantikan sistem pendawaian elektrik dan pasang lampu baharu.

“Bagi saya ibu mentua bukan sahaja ceria kerana dipilih sebagai penerima bantuan tetapi gembira menerima tetamu dalam jumlah yang amat ramai,” katanya ketika ditemui di kediaman berkenaan.

Rombongan itu turut disertai Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem, Ketua Whip Ahli Majlis MPAG Fadzil Abd Rahim serta jemputan lain.

Azlinda berkata, dia dan suami Ismail Shukor, 60, ketika ini sedang menunggu kelulusan bagi permohonan pembaikan rumah.

“Adun kawasan dan wakil agensi terbabit juga sudah datang membuat lawatan, saya harap permohonan diluluskan memandang ada bahagian rumah yang sudah retak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

315
Kongsi :
Previous post HAS2026: AGENDA PENGURUSAN AIR LESTARI, HOLISTIK JADI KEUTAMAAN MELAKA
Next post HAS2026: ANUGERAH KOMUNITI PRIHATIN AIR IKTIRAF KOMITMEN MASYARAKAT