Sorting by

×

MELAKA LULUS 606 PTK DALAM TEMPOH 3 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

MACHAP JAYA 22 April – Sebanyak 606 Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) telah diluluskan dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri  Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, daripada jumlah itu sebanyak 322 permohonan melibatkan Parlimen Alor Gajah telah diluluskan dan disusuli dengan pengeluaran Notis 5A oleh Pentadbir Tanah.

“Alhamdulillah, pada kali ini saya berbesar hati kerana dapat menyerahkan sendiri surat kelulusan kepada 90 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.

“Majlis ini bukan sekadar simbolik penyerahan dokumen semata-mata tetapi simbol kepekaan dan kasih sayang Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap inci tanah diamanahkan dipulangkan semula sebagai titik tolak kemajuan serta manfaat langsung kepada rakyat. Inilah bukti bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mendengar, memahami dan bertindak terhadap keperluan sebenar rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Permohonan Tanah Kerajaan (PTK) Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Machap Jaya di Sekolah Kebangsaan Lesong Batu, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Menurut Ketua Menteri, Kerajaan Negeri turut menyasarkan baki 33 peratus permohonan PTK yang masih dalam tindakan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah untuk diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Saya ingin menjelaskan bahawa Notis 5A bukan sekadar sekeping kertas sebaliknya ia adalah dokumen rasmi bahawa permohonan telah diluluskan. Malah saya berharap segala syarat dan tempoh bayaran yang dinyatakan dalam Notis 5A perlulah dipatuhi bagi membolehkan gerak hak milik dikeluarkan kelak,” katanya.

Jelasnya lagi, sepanjang pentadbiran beliau Kerajaan Negeri turut memberi diskaun khas lima peratus kepada penerima Notis 5A.

“Justeru itu, pada tahun ini juga saya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri meneruskan pemberian diskaun lima peratus kepada semua penerima yang membuat bayaran penuh dalam tempoh tiga bulan.

“Diskaun ini berkuatkuasa 1 April 2026 selain syaratnya tiada permohonan lanjutan tempoh atau rayuan pengurangan bayaran premium dan usaha ini adalah bukti kukuh bahawa Kerajaan Negeri sentiasa peka, responsif dan mendahulukan keperluan rakyat agar keluarga besar Melaka lebih mudah, cepat serta mampu memiliki tanah sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

234
Kongsi :
Previous post WRUR MACHAP JAYA: KILANG TAUGE MACHAP TARIK PERHATIAN KETUA MENTERI
Next post WRUR BUKTI KECEKAPAN, ISU PEMILIKAN TANAH 30 TAHUN SELESAI DALAM MASA DUA MINGGU