Sorting by

×

DARI SURAM JADI ‘INSTAWORTHY’, BANDAR JASIN KINI BERSERI-SERI

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

JASIN 23 April – Dahulunya, kawasan ini hanyalah sebuah lorong-lorong belakang yang suram, namun kini Bandar Jasin semakin berseri-seri dengan adanya Laman Seni @ Jasin Street Art.

Projek itu lahir hasil sinergi strategik di antara Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bersama PLANMalaysia Pejabat Projek Zon Selatan serta PLANMalaysia Melaka dalam merealisasikan sebuah ruang bandar yang lebih dinamik, berdaya saing dan beridentiti tinggi.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, transformasi tersebut bertitik tolak daripada aspirasi murni untuk mentransformasikan lorong-lorong belakang di kawasan tumpuan awam yang sebelum ini kurang menyerlah kepada ruang komuniti yang bernilai seni, hidup dan mampu menjadi tarikan baharu kepada masyarakat setempat serta para pelancong.

Jelas beliau, pembangunan Laman Seni @ Jasin Street Art dilaksanakan berasaskan keperluan mendesak untuk memperindah kawasan bandar melalui pendekatan kreatif dan lestari.

“Pemilihan lokasi telah dilaksanakan secara teliti melalui kajian keadaan semasa, penelitian zon guna tanah serta penilaian isu-isu kritikal yang dikenal pasti seperti masalah kekotoran, kesesakan visual, persekitaran suram dan ketiadaan elemen tarikan yang mampu menghidupkan suasana bandar.

“Justeru, pendekatan seni jalanan ini dilihat sebagai solusi progresif dalam menyuntik nafas baharu kepada kawasan tersebut.

“Pelaksanaan projek ini dijangka membawa limpahan manfaat yang besar kepada landskap Bandar Jasin, di mana dari sudut fizikal, ia berupaya meningkatkan nilai estetika bandar melalui penghasilan mural kreatif, dekorasi artistik dan susun atur ruang yang lebih tersusun serta menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Pandu Lalu KITARecycle Taman Muhibbah Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari; Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata, dari sudut ekonomi pula, kewujudan kawasan tumpuan baharu itu mampu merancakkan aktiviti perniagaan setempat, membuka peluang keusahawanan kecil dan sederhana serta meningkatkan aliran pengunjung ke premis-premis sekitar.

Pada masa sama, ujar beliau, projek itu berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan warisan dan pelancongan komuniti di daerah Jasin.

“Kedudukan Laman Seni @ Jasin Street Art yang strategik di tengah-tengah pusat komersial sedia ada, berhampiran institusi pendidikan serta bangunan warisan menjadikan lokasi ini amat berpotensi untuk berkembang sebagai nadi baharu aktiviti bandar.

“Malah, ia juga melambangkan sebuah transformasi bandar yang bukan sahaja indah dipandang mata, malah kaya dengan jiwa, nilai dan manfaat demi memacu pembangunan mampan serta kesejahteraan generasi masa hadapan, selain menjadi satu lagi mercu tanda kebanggaan warga Jasin,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post GULA-GULA DISYAKI MENGANDUNGI GANJA PUNCA KANAK-KANAK 3 TAHUN POSITIF DADAH
Next post LADANG SOLAR HIBRID PERTAMA MELAKA BEROPERASI 2027