
LADANG SOLAR HIBRID PERTAMA MELAKA BEROPERASI 2027
KOTA LAKSAMANA 23 April – Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) memeterai kerjasama strategik bersama Jus Power Sdn Bhd bagi membangunkan projek ladang solar hibrid pertama di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek bernilai RM437 juta itu melibatkan pemasangan kira-kira 190,000 panel solar di tapak seluas 122 hektar (301.65 ekar) di Empangan Jus, Asahan.
Katanya, keluasan tersebut merangkumi dataran dan permukaan air yang mana projek tersebut dijadualkan bermula pada hujung tahun ini dan siap pada tahun 2027.
“Projek ini akan menjana sekitar 206 Gigawatt jam setahun jumlah mencukupi untuk kira-kira 35,000 rumah, inisiatif ini juga akan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 125,000 tan karbon dioksida setahun.
“Tenaga yang dijana akan disalurkan ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk kegunaan di Semenanjung Malaysia sepanjang tempoh operasi 21 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama Bagi Projek Ladang Solar Terapung Berkapasiti 90 MWac di Empangan Jus di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Ts. Noramirul Nizam Kamis; Pengerusi Jus Power Sdn Bhd Datuk Seri Ong Ah Hwa serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, inisiatif tersebut menyokong sasaran nasional di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk mencapai 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2050.
“Sasaran Melaka sebanyak 300 Megawatt kapasiti tenaga boleh baharu dengan pencapaian semasa sekitar 200 Megawatt.
“Sebelum ini pembangunan ladang solar di Ayer Keroh, Rembia, Bemban dan Masjid Tanah telah menjana kira-kira 102 Gigawatt jam setahun membekalkan elektrik kepada 28,000 rumah sebagai sebahagian usaha berterusan memperkukuh agenda tenaga lestari negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


